FOKUS

Sidang Dewan Rakyat hangat dengan isu adendum pasal Najib….Anwar hentam Takiyuddin

Sidang Dewan Rakyat pada Selasa menyaksikan pertikaian lidah panas antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kalangan Ahli Parlimen mengenai isu adendum tahanan rumah Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini timbul semasa sesi Pertanyaan-pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) bila mereka menuntut beliau mengesahkan samaada titah bekas Yang Dipertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu wujud atau tidak serta hal berkaitan.

Soalan asal dikemukakan oleh Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hassan.Turut serta ialah Ahmad Fadli Shaari (PN-Pasir Mas) dan Sheikh Mohmed Puzi Sheikh Ali (BN-Pekan).

Merujuk kepada soalan Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS…Perdana Menteri berkata beliau tidak boleh menjawab buat masa ini.

Beliau memetik peraturan Parlimen yang menghalang perbincangan subjudis untuk kes mahkamah yang sedang berjalan.

Menurut Anwar beliau sebagai Perdana Menteri tidak dibenarkan mengulas keputusan yang dibuat oleh Yang Dipertuan Agong berhubung pengampunan – melainkan jika ada kebenaran daripada Agong atau perkara itu diselesaikan di mahkamah.

Dalam pada itu,Perdana Menteri mengesahkan bahawa beliau yang membawa permohonan pengampunan Najib kepada Yang Dipertuan Agong sebelumnya – Sultan Pahang Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah – pada Dis 2023.

Menurutnya adalah menjadi hak Najib rayuan beliau didengari.

Serentak dengan itu Anwar memberitahu akan memberikan jawapan di parlimen sebaik sahaja pertikaian mahkamah berhubung titah adendum itu diselesaikan (di mahkamah pada 6 Januari ini).

Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) meminta orang ramai supaya menghormati prosiding mahkamah yang sedang berlangsung berkaitan titah adendum yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Dalam satu kenyataan tersebut, AGC berkata, Mahkamah Rayuan telah menetapkan pendengaran berlangsung pada 6 Januari tahun depan.

Anwar juga secara berdepan menghentam Takiyuddin yang dakwanya cuba menjadi juara isu Najib sedangkan sebelum ini sering kritik teruk bekas Perdana Menteri itu.

Beliau dakwa Takiyuddin hipokrit dan cuba ambil kesempatan politik nak tunjuk juara dalam isu Najib.

“Saya nak tanya, boleh atau tidak seorang Perdana Menteri ulas keputusan Yang di-Pertuan Agong dalam Lembaga Pengampunan, jawabnya tidak boleh.

“Peguam ini (Takiyuddin) faham ke undang-undang? Tak boleh (ulas), kalau saya pilih untuk menjawab (mengenai Titah Adendum), saya tak boleh jawab untuk menghormati mahkamah.

“Tak faham ke itu… nak cari ‘cheap political stunt and the hipocracy is suddenly’ (aksi politik murahan dan sikap berpura-pura tiba-tiba) dia (Takiyuddin) nak jadi champion (juara dalam isu) Najib.

“Apa sudah percaya dia champion (juara)? Dulu ucapan dia berapi-api mengecam Najib habis-habisan, dari rambut sampai kaki. Sekarang nak jadi hipokrit,” katanya

Kata Anwar Jemaah Menteri sendiri ada buat keputusan sehingga kes ini dimuktamadkan dan sehingga Yang di-Pertuan Agong perkenan, ia tidak boleh mereka sentuh.

“Ini adalah keputusan Lembaga Pengampunan, nak jadikan bahan politik mengaibkan bagi saya ” katanya.

Menjawab soalan tambahan Ahmad Fadli Shaari…Anwar berkata, beliau juga terikat kepada perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Adendum kena tunggu 6 Januari, apa yang tidak sabar sangat. Saya tidak mahu komen betul atau tidak, saya tidak mahu komen. Tapi memang betul tidak dihantar kepada saya, dan tidak diberitahu dan tidak ada penjelasan kepada saya.

“Tidak semestinya begitu, kerana dia mesti melalui Lembaga Pengampunan dan saya bukan ahlinya. Ada yang dakwa saya buat tidak tahu, saya tahu faktanya.

“Saya tegaskan kalau nak bangkitkan (titah) adendum dan surat, tidak ada sesiapa yang pertikai sahih atau tidak, biar mahkamah yang putuskan, biar kita dedahkan termasuk siapa yang masukkan agenda berkenaan dan kena ingat ini hanya boleh dilakukan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong dan setelah dikecualikan dari Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan saya setuju supaya boleh memadamkan tohmahan kepada Peguan Negara dan kerajaan,” jelas Anwar lagi.

Menjawab pertanyaan Sheikh Mohmed Puzi Sheikh Ali (BN-Pekan) sama beliau bercadang untuk mengadap Sultan Pahang – yang didakwa mengeluarkan titah adendum itu – untuk menyelesaikan perkara berkenaan,Anwar berkata memandangkan perkara itu terus berbangkit, beliau mencadangkan agar Yang Dipertuan Agong semasa, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mempertimbangkan perkara itu.

“Memandangkan perkara ini terus berbangkit, saya telah mencadangkan untuk dipertimbangkan oleh Yang di-Pertuan Agong sekarang, untuk – pada masa yang dirasakan sesuai oleh Agong – merujuk perkara itu kepada Lembaga Pengampunan yang akan dipengerusikan oleh Agong,” katanya.

Anwar juga berkata, perkara tersebut juga ada dibincangkan dalam pertemuan beliau dengan Sultan Ibrahim di Johor Bharu, semalam.- 10/12/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button