Orang ramai yang bercadang hendak bercuti ke Langkawi hujung tahun ini boleh menarik nafas lega selepas keputusan menaikkan harga tambang feri Langkawi dibatalkan.
Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd menarik balik keputusan menaikkan tambang feri bagi warganegara Malaysia selepas mendapat teguran daripada Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook.
Pengurus Besarnya, Kapten Dr. Baharin Baharom, dalam kenyataan pada Ahad, memaklumkan bahawa kenaikan tambang untuk laluan Langkawi-Kuala Kedah dan Langkawi-Kuala Perlis yang dijadualkan berkuat kuasa 1 Januari 2025 telah dibatalkan.
“Atas nasihat Kementerian Pengangkutan Malaysia dan kerajaan negeri Kedah, kami membatalkan kenaikan tambang untuk warganegara Malaysia. Namun, tambang baharu bagi pelancong asing akan tetap dilaksanakan pada tarikh yang sama,” katanya.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan melahirkan rasa kesal terhadap tindakan tergesa-gesa pengusaha feri yang mengumumkan kenaikan tambang tanpa berbincang dengan pihak kementerian.
Loke memberi amaran bahawa pengusaha feri yang menaikkan tambang khususnya untuk warga tempatan dan pelancong domestik tidak layak menerima subsidi diesel.
Langkah pembatalan ini dilihat sebagai respons terhadap teguran tersebut dan usaha untuk memastikan tambang feri kekal berpatutan bagi rakyat tempatan.16/12/2024