Sunday - 22, December 2024

Anwar hadir Malam Manifestasi Tiga Seni

Share

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Program Malam Manifestasi Tiga Seni yang meraikan ekspresi seni melalui integrasi seni visual, puisi, dan muzik Rabu malam.

Beliau yang tiba pada 8 malam, meluangkan masa kira-kira 90 minit pada program yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP Kuala Lumpur.

Bernama melaporkan Perdana Menteri dan kira-kira 1,000 hadirin dipersembahkan dengan puisi bertajuk Air Yang Ku Minum, disampaikan Sasterawan Negara Datuk Anwar Ridhwan yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.

Program itu turut menampilkan sesi deklamasi puisi daripada Sasterawan Sarawak Dr Abang Patdeli Abang Muhi, Sasterawan Negara Datuk Dr Zurinah Hassan dan Sasterawan Negara Datuk Rahman Shaari.

Pada penghujung acara, Anwar turut dihadiahkan lukisan langsung, ekspresi abstrak hasil sentuhan Dekan Fakulti Seni Halus, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) Suzlee Ibrahim bertajuk Air Yang Ku Minum.

Malam Manifestasi Tiga Seni itu menggabungkan acara pameran karya seni, deklamasi puisi dan persembahan muzik melibatkan tujuh seniman visual, tokoh sastera dan penyanyi legenda Datuk Ramli Sarip.-19/12/2024

Read more

khabar terbaru