
Polis Indonesia mengaku anggota mereka peras duit 45 rakyat Malaysia…
Bermula dari pengakuan netizen Malaysia dalam aplikasi X dan Tik Tok bahawa mereka di ‘pau’ beramai-ramai oleh polis Indonesia ketika sedang menonton konsert di Jakarta baru-baru ini… kini berita yang viral macam goreng pisang panas itu disahkan sendiri oleh polis Indonesia.
Kisahnya bermula apabila peminat musik seluruh Asean berkumpul untuk konsert tiga hari sempena Djakarta Warehouse Project (DWP) baru-baru ini.
Ramai penonton dari Malaysia mengadu mereka ditarik dari kerumunan orang ramai oleh polis Indonesia dan dirampas pasport sebelum diarahkan untuk buat ujian air kencing.
Tak kisah apa keputusan air kencing… kalau nak pasport balik kena bayar. Dengar cerita ada yang bayar sampai RM40,000 untuk selamat balik ke Malaysia.
Bak kata bangkai gajah tak boleh tutup dengan daun… perbuatan terkutuk itu mula terbongkar melalui siri pengakuan demi pengakuan dalam media sosial.
Sebelum pihak penganjur mengeluarkan kenyataan rasmi akan membuat aduan kepada pihak polis Indonesia.
Dengan kuasa viral… tak tunggu lama, perbuatan yang mencemarkan nama baik polis Indonesia itu diambil tindakan dengan 18 orang anggota polis kini ditahan di tempat khusus untuk membantu siasatan.
Ketua Bahagian Profesion dan Keselamatan (Propam) Polis Negara Inspektor Jeneral Abdul Karim menyatakan bahawa bukti yang dirampas bernilai IDR 2.5 bilion (RM718,068).
“Dua aduan rasmi telah difailkan oleh warga Malaysia,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung oleh Metro TV, sambil menambah bahawa identiti mereka akan dilindungi sepanjang siasatan.
Tegasnya, kes itu dipantau rapi oleh badan luar seperti Suruhanjaya Polis Negara (Kompolnas) bagi memastikan ketelusan dan keadilan dalam siasatan.
“Kami, kepimpinan Polis Negara, serius untuk menangani sebarang bentuk pelanggaran yang dilakukan oleh pegawai polis kami dan kami akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja, tanpa mengira siapa mangsa, ” tambahnya.
Pada Sabtu, polis Indonesia menahan 18 anggota kerana didakwa memeras ugut warga Malaysia pada konsert DWP selama tiga hari di Kemayoran, Jakarta Utara, yang berakhir pada 15 Disember.
Susulan penahanan itu, Menteri Pelancongan Indonesia Widiyanti Putri Wardhana memuji polis atas tindakan pantas mereka menyiasat dakwaan peras ugut pelancong semasa konsert itu.
Kementerian telah menyelaraskan dengan penganjur acara dan polis untuk menangani isu itu sejak kebimbangan pelancong didedahkan kepada umum.
“Kementerian Pelancongan memohon maaf atas kesulitan dan kesan yang disebabkan oleh kejadian ini,” katanya.-25/12/2024