Friday - 3, January 2025

Najib perlu kemuka permohonan baru di Lembaga Pengampunan jika mahu habiskan baki hukuman di rumah…

Share

Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Sabtu mengeluarkan satu kenyataan memaklumkan mengenai perkembangan terbaru dalam urusan Lembaga Pengampunan termasuk mengenai menghabiskan baki hukuman kepada tahanan di rumah.

Difahamkan ini bermakna bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak perlu mengemukakan permohonan baru kepada Lembaga Pengampunan sekiranya ingin menghabiskan baki hukuman kepada tahanan di rumah.

Menerusi kenyataan berkenaan AGC memberitahu ia telah dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk memaklumkan bahawa semua permohonan mengenai pengampunan bagi kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya hendaklah dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut tatacara dan saluran yang telah ditetapkan di bawah undang-undang dan bukannya mana-mana saluran lain.

“Oleh itu, sekiranya mana-mana pihak ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan termasuk Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menghabiskan baki tempoh hukumannya dengan ditahan di rumahnya, permohonan berkenaan perkara itu hendaklah dikemukakan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengikut tatacara dan saluran yang ditetapkan di bawah undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa,” katanya.

AGC memaklumkan, berdasarkan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan, Agong berkuasa untuk memberi pengampunan, menunda dan melegakan hukum bagi apa-apa kesalahan dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya.

Menurutnya, Perkara 42(2) Perlembagaan Persekutuan pula antara lain memperuntukkan bahawa Agong juga boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah.

“Dalam hal ini, keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Lembaga Pengampunan menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan juga adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang terpakai bagi mengelakkan tindakan sedemikian dicabar di mahkamah kerana tidak sah dari segi undang-undang,” katanya.

Najib, 71, yang sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September tahun sama.

Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang Dipertuan Agong ke 16 pada 29 Januari lalu telah mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta, menjadikan beliau bakal bebas pada 23 Ogos 2028.

Kemudian timbul isu Titah Adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Pada 3 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan bekas ahli Parlimen Pekan terbabit memutuskan bahawa empat afidavit menyokong tuntutannya, termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tidak boleh diterima pakai kerana ia khabar angin semata-mata.

Dalam permohonan yang difailkan pada April lepas, Najib memohon perintah mandamus untuk memaksa responden menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Najib telah memfailkan semakan kehakiman agar kerajaan mendedahkan jika perintah itu wujud, dan jika ada, untuk kerajaan melaksanakan perintah tersebut.

Pendengaran seterusnya dijadual di Mahkamah Rayuan pada 6 Januari 2025.- 29/12/2024

Read more

khabar terbaru