Dalam amanat Tahun Baharu 2025 Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta rakyat menerima hakikat semua keputusan dan kebijakan yang digerakkan oleh kerajaan dilaksanakan dengan tekad politik jelas dengan niat ikhlas dan penilaian teliti bagi memastikan dasar tersebut memberi manfaat kepada rakyat terbanyak.
Namun serentak dengan itu beliau mengakui tidak semua yang dilaksana itu menjadi popular atau lekas membuahkan hasil.
“Sebagai contoh, penyasaran subsidi diesel dan sebelumnya tentang tarif elektrik yang digerakkan oleh Kerajaan Madani untuk menutup ketirisan sekian lama dek subsidi pukal yang telah disalurkan kepada pihak yang paling kaya.
“Yang saya sebut sebagai maha kaya dan orang asing (seramai) tiga setengah juta orang yang tidak layak menerima subsidi,” katanya.
BERIKUT IALAH UCAPAN PENUH PERDANA MENTERI :
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Saudara dan saudari yang saya muliakan dijemput untuk menghimbau semula tahun 2024; satu tahun yang bakal dikenang dalam sejarah sebagai mukadimah dan pembuka kepada agenda pembaharuan nasional bagi negara Malaysia tercinta.
Apakala kerangka Ekonomi MADANI diluncurkan pada 27 Julai 2023, ia memungkinkan hala tuju yang jelas untuk membentuk semula Malaysia sebagai peneraju ekonomi rantau Asia. Apa yang lebih mendesak dan mustahak adalah kerangka Ekonomi MADANI yang memberi petunjuk kepada kepemimpinan dan generasi penerus untuk mempasak sebuah sistem ekonomi yang berteraskan prinsip manusiawi dengan ihsan, dengan rahmah, agar keadilan dapat ditegakkan bagi setiap insan warga Malaysia.
Atas ikhtiar tersebut, Kerajaan telah menggerakkan usaha untuk menjelmakan anjakan baharu bermula pada tahun ini, insya-Allah. Saya turut memahami bahawa tidak semua keputusan dan kebijakan Kerajaan itu popular atau lekas membuahkan hasil. Namun, semua ini dilaksanakan dengan tekad politik yang jelas, dengan niat ikhlas serta penilaian yang teliti untuk memastikan dasar-dasar tersebut ini memberi manfaat kepada rakyat terbanyak.
Sebagai contoh; penyasaran subsidi diesel dan sebelumnya tentang tarif elektrik yang digerakkan oleh Kerajaan MADANI untuk menutup ketirisan sekian lama dek subsidi pukal yang telah disalurkan kepada pihak yang paling kaya, yang saya sebut sebagai mahakaya dan orang asing tiga (3) setengah juta orang yang tidak layak menerima subsidi.
Alhamdulillah, peruntukan bagi Sumbangan Tunai Rahmah (atau STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (atau SARA) bagi tahun ini itu ditambah RM10 bilion yang merupakan jumlah yang terbesar dalam sejarah. Insya-Allah, pada tahun hadapan, Kerajaan berhasrat untuk menambah peruntukan STR dan SARA sebanyak RM3 bilion atau 30 peratus kepada RM13 bilion keseluruhannya.
Selain daripada menambah jumlah bantuan saban tahun, Kerajaan juga giat gejala fenomena kenaikan kos yang harus ditangani, kerana kos sara hidup ditangani melalui penganjuran Program Payung Rahmah di seluruh Pasukan pemantau digerakkan dengan aktif untuk memerhati, memantau dan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang mencatut harga dengan sewenang-wenangnya.
Keadaan ekonomi semasa kita harus tangani dengan bijak kerana ia juga melibatkan apa yang belum diduga, yang berlaku separah ini, iaitu musibah banjir yang berlaku mutakhir ini. Maka Kerajaan MADANI telah memberi jaminan bahawa segala usaha akan terus dijalankan di semua negeri bagi memastikan bantuan sampai dengan segera dan kerja pemulihan dan bantuan secepat mungkin akan diselenggara oleh semua agensi Kerajaan Pusat, Persekutuan dengan kerjasama jentera Negeri dan Kerajaan Tempatan atau jajahan.
Operasi kesiapsiagaan sejak awal telah dirangka secara mampan agar dapat mengelak dari dampak yang buruk dari musibah tersebut. Insya-Allah, kita akan mampu mengharungi dan melindungi lebih banyak nyawa dari terkorban atau harta benda yang rosak.
Mengenai perbelanjaan pembangunan negara, selain daripada memberikan tumpuan kepada prasarana asas seperti jalanraya, lebuhraya dan bekalan, adalah dengan meneruskan projek tebatan banjir di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi walaupun akan memberikan kesan dan dampak perbelanjaan yang tinggi.
Malaysia pada tahun 2025 akan memulakan tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN. Kerumitan landskap global saat kini menuntut ASEAN untuk melakar peranan dan pengarahan baharu. Ini ternyata menjadi tugas besar Malaysia tatkala memimpin ASEAN tahun ini dengan mengangkat tema “Keterangkuman dan Kemampanan“, yakni membawa seluruh kekuatan yang ada, seluruh pasukan yang ada sebagai satu kesatuan dan menjamin supaya pembangunan ini terus mampan dan mengambil kira mengurangkan jurang perbedaan dan menangani permasalahan yang dihadapi oleh kelompok yang tersisih atau miskin atau terpinggir. Jadi inilah maksud kita supaya ASEAN menikmati dan berkongsi limpahan kemakmuran secara adil tanpa ada kelompok atau wilayah yang disisihkan.
Maka untuk maksud ini, kita harus bersama menjunjung prinsip striving for excellence, maknanya berusaha mencari jalan dan kaedah supaya mencatat kecemerlangan, mengukuh perpaduan di dalam negara kita dahulu, sebab sebelum kita melangkau ke rantau dan ke pasaran antarabangsa negara harus teratur dengan baik, tatakelola mesti dimantapkan, ketirisan dan rasuah mesti dibanteras, barulah kita akan perolehi penghormatan sebagai satu negara yang berdaulat, merdeka dan bertanggungjawab. Inilah penghormatan yang besar untuk negara dan peluang untuk membina lembaran baru dalam agenda serantau dan global yang terus mencabar selagi beberapa isu pokok seperti pembantaian, kezaliman, penindasan, penjajahan di Gaza dan beberapa kawasan yang mencabar selainnya.
Kita doa kehadrat Allah Subhanahu Wataala mudah-mudahan usaha kita ini mendapat keberkatan dari Allah Subhanahu Wataala.
Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. – 31/12/2024