Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu setiap pembangunan mendesak seperti projek tebatan banjir dan pembasmian kemiskinan tegar untuk disegerakan dan dipercepatkan.
Perdana Menteri berkata, projek terlibat perlu disegerakan meskipun mengambil masa dan unjuran yang lama.
“Ada hal-hal yang perlu dipercepatkan dan diperbaiki. Beberapa hal yang harus disegerakan kadang-kadang ia mengambil masa dan unjuran.
“Kalau banjir itu mengorbankan nyawa, mengorbankan harta, jangan sehingga tunggu enam tahun. Kalau perlu jimat daripada perbelanjaan lain, kita jimatkan. Kalau perlu kita pinjam, kita pinjam.
“Tapi, semua program yang mendesak seperti kemiskinan tegar, tebatan banjir harus disegerakan dan tidak mengikut unjuran lima atau enam tahun,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya Jumaat.
Katanya, beliau mahu program untuk kesenangan rakyat disegerakan supaya dalam tempoh yang singkat permasalahan itu dapat diselesaikan sebaik mungkin.
Anwar berkata, beliau memahami bahawa projek tebatan banjir sudah terangkum dalam rancangan lima tahun pembangunan kerajaan (Rancangan Malaysia).
Namun, katanya, ia (projek tebatan banjir dalam Rancangan Malaysia) harus dirombak semula.
“Jadi hal-hal ini harus diteliti oleh semua ketua setiausaha kementerian,” katanya.
Katanya, keupayaan sesebuah negeri tidak perlu dibangkitkan dan menjadi alasan selain mahu kerja itu diselesaikan segera.
“Kalau tidak, KSU baru datang kemudian tengok skim banjir untuk tebatan banjir fasa satu di Rantau Panjang dah siap, fasa kedua 2026, fasa ketiga 2029, jadi orang Rantau Panjang kena tunggu 15 tahun baru nak siap? Tak usah bangkit keupayaan negeri, saya tidak mahu dengar hal itu, yang saya tahu kita mesti selesaikannya.
“Kerjasama dan perubahan tentunya melibatkan peruntukan kewangan besar, tetapi kalau perlu potong peruntukan daripada tempat lain, kita potong, kerana mesti selesaikan perkara asas dihadapi rakyat,” kata Anwar.-3/1/2025