Susana di depan Istana Kehakiman di Putrajaya tenang sahaja ketika Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh lintas di situ masa berjogging petang Ahad.
Gambar dengan caption ringkas “Selamat petang Putrajaya,” yang dimuatnaik di facebook beliau tentunya ada mesej tersendiri.
Ini kerana beliau antara mereka yang sudah set tetap dengan pendiriannya untuk hadir ke Himpunan Solidariti Bersama Najib Razak semasa Mahkamah Rayuan mendengar rayuan mengenai isu Titah Adendum di situ pagi Isnin.
Perhatian satu negara tentu akan bertumpu ke Istana Kehakiman untuk mengintai apa keputusan mengenai dakwaan wujudnya titah tambahan Yang Dipertuan Agong ke 16 Sultan Abdullah yang didakwa benarkan bekas Perdana Menteri itu jalani tahanan di rumah.
Sekarang ini semua orang hendak tahu secara rasmi apakah titah berkenaan benar benar wujud atau tidak.
Siapa tahu jawapan berkenaan mungkin muncul dari pendengaran di Mahkamah Rayuan.
Selain isu titah adendum itu…pada masa yang sama kebelakangan ini berlegar sakan polimek mengenai isu Himpunan Solidariti Bersama Najib Razak yang asalnya hendak diterajui oleh UMNO.
Namun parti itu tekan brek membatalkan rancangan itu selepas Istana Negara mengeluarkan satu kenyataan supaya menghormati kuasa prerogatif titah Yang di-Pertuan Agong dan menggunakan saluran perundangan ditetapkan dengan mengemukakan rayuan.
Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan ahli parti itu supaya tidak menyertai perhimpunan berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri berkata mana-mana ahli yang masih mahu menyertai perhimpunan tersebut, perlu menanggung sendiri sebarang risiko yang akan dihadapi.
Sebelum rancangan itu dibatalkan berpuluh puluh buah bas dikatakan sudah disewa untuk bawa ahli ahli UMNO dari seluruh negara menyertainya.
Polis pula akan mengadakan pemeriksaan keselamatan yang ketat melalui sekatan jalan raya akan dilakukan di jalan masuk ke Putrajaya susulan larangan himpunan di Istana Kehakiman, Putrajaya.
Ketua Polis Putrajaya Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu menyertai perhimpunan itu kerana melanggar undang-undang sedia ada.
Menurut beliau seramai 456 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan membuat kawalan keselamatan di Istana Kehakiman dan kawasan sekitarnya pada Isnin.
Sebagai orang besar dalam kepimpinan UMNO Dr Akmal tentu tahu risiko politik yang beliau perlu hadapi dengan menyertai perhimpunan di situ.
Beliau awal awal sudah asingkan dirinya dengan parti politik naungannya dalam hal berkenaan.
Tegas beliau kehadirannya adalah bersifat individu dan hanya mahu memberikan sokongan moral kepada Najib berhubung isu Titah Adendum.
Ahli Parlimen PKR kawasan Pasir Gudang,Johor Hassan Karim yang dikenali umum sangat vokal dalam mengulas isu berkata penyokong Najib mempunyai hak untuk berhimpun bagi menyatakan solidariti terhadap bekas pemimpin mereka di Istana Kehakiman.
Hassan yang juga peguam berkata perhimpunan itu tidak boleh dianggap sebagai menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Hak untuk berhimpun dijamin di bawah Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan yang secara terang menyatakan bahawa semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata,”katanya.
Dalam pada itu isu ini juga riuh dengan polimek kalangan pimpinan PAS hendak menyertai himpunan ini.
Antara yang mengesahkan akan hadir ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS dan Perikatan Nasional (PN) berkata, kehadirannya ke perhimpunan terbabit nanti bertujuan untuk mengetahui sendiri sama ada Titah Adendum berkait bekas Perdana Menteri itu yang diperkatakan selama ini, wujud atau sebaliknya.
“Siapa hendak pergi, silakan… tidak mahu pergi, sudah. Saya akan hadir, nak tengok Titah Adendum itu ada atau tidak. Ada orang kata ada, ada orang kata tidak ada, selepas itu kata ada. Kita tengok ada atau tidak ada… sebab itu saya hendak pergi mahkamah (di Putrajaya), esok,” katanya
Menerusi satu kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan kata partinya tetap akan meneruskan rancangan mereka berhimpun sebagai tanda solidariti buat Najib di Istana Kehakiman di Putrajaya pada Isnin ini.
Menurutnua mereka berhimpun semata-mata mahu mempertahankan kuasa dan prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang diangap parti itu dimanipulasi.
Isu titah tambahan (adendum) itu juga, katanya, menampakkan berlaku sesuatu yang tidak telus, dan pada masa sama PAS mahu menyokong semua usaha sah Najib “mendapatkan keadilan” mengikut undang-undang.
Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu menjelaskan PAS menganggap kehadiran orang ramai ke himpunan solidariti berkenaan sekali-kali tidak menyanggah mahupun mengurangi makna dan tujuan titah Agong yang dikeluarkan Istana Negara kelmarin.
Sementara itu, BN menerusi satu kenyataan pada Ahad menempelak “golongan oportunis yang cuba menangguk di air keruh” dalam isu Najib.
Ia dipercayai ada kaitan dengan tindak tanduk PAS.
“Ia adalah langkah tidak bermoral menggunakan kesengsaraan Datuk Seri Mohd Najib yang pernah dihina dan difitnah di pentas propaganda politik mereka sendiri, dan kini mereka mahu menggunakan peluang untuk membina momentum bagi mencapai matlamat politik mereka,” kata gabungan itu.
BN tetap konsisten agar proses keadilan dan perundangan terhadap bekas Perdana Menteri itu dilaksanakan dengan setulusnya.
“Menjadi tradisi BN, apa jua kemusykilan yang dihadapi oleh seseorang pemimpin parti dan negara, termasuklah Datuk Seri Mohd Najib, tetap tidak meleraikan hormat terhadap jasa dan pengorbanannya serta sumbangan yang besar,” kata kenyataan itu.
“BN berdiri teguh bersama Pengerusinya Ahmad Zahid Hamidi ketika mengemudi BN dalam menghadapi keadaan ini demi memelihara prinsip ketaatan kepada institusi Raja, kestabilan negara dan perpaduan rakyat serta keteguhan parti,” tegasnya lagi.- OLEH HIEKAL ROSLI
5/1/2025