Wednesday - 8, January 2025

Jaminan makanan halal tarikan kapal Resorts World One berlayar ke Dubai, Oman

Share

Kesemua makanan dihidang di restoran di atas kapal persiaran mewah, Resorts World One dijamin halal adalah tarikan bagi mereka yang mahu menikmati pengalaman pelayaran tengah laut.

Kapal Resorts World One, yang baru sahaja memulakan pelayaran sulungnya ke rantau Teluk pada 1 November, menawarkan pengalaman pelayaran luar biasa dengan pelbagai kegiatan dan lawatan ke destinasi-destinasi menarik di Dubai dan Oman.

Kapal itu dibina pada 1999 dan direka untuk menampung lebih 1,800 penumpang. Dengan panjang sekitar 268 meter dan 13 tingkat, kapal itu dilengkapi dengan kemudahan bertaraf dunia, menjadikannya pilihan baik untuk pelancong yang ingin menggabungkan gaya hidup mewah dengan pengembaraan laut.

Di atas kapal, Resorts World One menawarkan pelbagai kegiatan untuk semua peringkat umur. Penumpang boleh menikmati kolam renang, pusat kecergasan, spa mewah, dan pelbagai restoran yang menyajikan masakan antarabangsa.

Antara restoran yang tersedia ialah Blue Lagoon (masakan Asia), Mozzarella Ristorante & Pizzeria (masakan Italy), Seafood Grill (masakan Barat), Uma Uma (masakan Jepun), Silk Road (masakan Cina dengan pengaruh Barat dan Arab), dan The Lido Buffet (pelbagai jenis hidangan).

Terdapat juga program hiburan seperti persembahan langsung dan kegiatan untuk kanak-kanak seperti permainan arked dan taman permainan.

Bagi pencinta membeli-belah, terdapat butik bebas cukai yang menawarkan pelbagai jenama mewah. Selain itu, Resorts World One menyediakan kemudahan seperti bilik persidangan untuk penumpang korporat yang ingin menggabungkan kerja dan percutian.-6/1/2025

Read more

khabar terbaru