Setelah Datuk Seri Najib Razak capai kejayaan di Mahkamah Rayuan berkaitan titah adendum hari ini…Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi telah mengeluarkan satu kenyataan antara lain memohon Yang di-Pertuan Agong sekarang untuk memberikan pengampunan penuh buat bekas Perdana Menteri itu selaras kuasa prerogatif Baginda.
Serentak dengan itu Timbalan Perdana Menteri kata perakuan wujudnya titah adendum berkenaan penahanan dalam rumah Najib telah membuktikan kesahihan afidavit tambahan yang dibuat oleh beliau dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
“UMNO menjunjung kasih Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang yang telah memperakukan Titah Addendum berkenaan penahanan dalam rumah (house arrest) Najib Razak adalah wujud dan sahih,”katanya.
Tegasnya, UMNO menghormati proses perundangan yang sedang berlangsung dan akan terus memperjuangkan keadilan buat Najib.
“Saya juga ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli-ahli UMNO serta penyokong setia yang tidak pernah lelah memberikan sokongan dan doa sepanjang perjalanan ini.
“UMNO memohon ihsan, kebijaksanaan dan keadilan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan penuh buat Najib selaras kuasa prerogatif Baginda di bawah peruntukan Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi, bersama-sama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, pada tengahari Isnin buat keputusan 2-1 membenarkan rayuan Najib untuk memulakan semakan kehakiman isu adendum.- 6/1/2025