Syarikat gergasi media sosial Meta menggugurkan dasar penyederhanaan kandungannya, termasuk menamatkan program semakan fakta Amerika di Facebook dan Instagram, dalam satu anjakan besar sejajar dengan keutamaan bakal Presiden Donald Trump.
“Kami akan menggugurkan penyemak fakta (yang) terlalu berat sebelah dari segi politik dan telah memusnahkan lebih banyak kepercayaan daripada yang mereka cipta, terutamanya di Amerika,” jelas pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Meta Mark Zuckerberg dalam satu catatan.
Sebaliknya, platform Meta termasuk Facebook dan Instagram, “akan menggunakan nota masyarakat seperti di wadah X, bermula dari Amerika,” tambahnya.
Pengumuman mengejut Meta itu berikutan dengan aduan oleh Parti Republican, pimpinan Trump dan pemilik X, Elon Musk tentang semakan fakta, yang dilihat oleh ramai anggota konservatif sebagai satu langkah penapisan.
Mereka berpendapat bahawa program semakan fakta menyasarkan suara sayap kanan secara tidak seimbang, yang telah mendorong pelaksanaan undang-undang yang diusulkan di wilayah seperti Florida dan Texas untuk menghadkan penyederhanaan kandungan.
Sementara itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata tindakan Meta untuk menamatkan perkhidmatan semakan fakta pada platformnya akan mempunyai kesan, tetapi ia tidak akan menjejaskan komuniti media sosial Malaysia.
“Pada masa ini, saya tidak nampak ia akan menjejaskan pasaran Malaysia, hanya Amerika Syarikat,” katanya.
Fahmi berkata konsep Nota Komuniti adalah berasaskan kepada sumber ramai dan mempunyai kebaikan dan keburukan.
“Mungkin ini satu cara yang baik dan positif, kerana bila dimuat naik satu kandungan contohnya dalam Facebook, maklumat penjelasan yang diberikan termasuk oleh orang awam itu mungkin tenggelam dalam bahagian komen.
“Konsep Community Notes berlandaskan konsep crowdsource. Kita lihat pro dan kontranya,” katanya.
Fahmi berkata Meta masih belum menghubunginya, Timbalan Menteri Teo Nie Ching atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk membincangkan perkara itu dengan lebih lanjut.
“Tetapi kita akan berhubung dengan pihak Meta untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.-9/1/2025