TAHUKAH ANDA

Mesin ganti manusia… AI bakal pengaruhi 30 peratus pekerjaan di Malaysia

Jangan terkejut… dalam masa 10 tahun akan datang sektor pengilangan, perkhidmatan dan teknologi maklumat akan mengalamai perubahan ketara dari segi penggunaan tenaga manusia yang diganti oleh kecerdasan buatan (AI).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata analisis terkini kerajaan menunjukkan lebih 30 peratus pekerjaan di Malaysia akan dipengaruhi oleh AI dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Menurutnya, perangkaan menunjukkan lebih 600,000 pekerja perlu menjalani latihan semula dalam tempoh tiga hingga lima tahun agar kekal relevan dalam pasaran kerja yang semakin bersaing.

“Tambahan pula, menjelang 2030 negara diunjurkan memerlukan 500,000 pekerja mahir tambahan bagi memenuhi keperluan sektor teknologi dan teknikal.

“Angka ini menunjukkan keperluan mendesak untuk membangunkan ekosistem latihan dan pensijilan yang berkesan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pensijilan Pembangunan Profesional Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) di Putrajaya.

Chang berkata dalam konteks berkenaan, tenaga kerja Malaysia perlu bersedia untuk berdepan dengan perubahan iaitu proses latihan semula dan peningkatan kemahiran menjadi amat penting terutama dalam bidang teknologi dan teknikal.

Menurutnya, ini penting agar Malaysia dapat bersaing di peringkat sejagat dan memenuhi keperluan industri yang terus berkembang.

“Oleh itu, kerajaan sedang giat memastikan kursus dan latihan yang ditawarkan selaras dengan keperluan piawaian antarabangsa dan keperluan industri 4.0.

“Ini termasuk kursus dalam bidang seperti keselamatan siber, pengurusan sistem pintar dan analitik data,” ujarnya.

Beliau berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) melalui MBOT ditugaskan untuk membangunkan inisiatif bagi merapatkan jurang kemahiran pekerja, seterusnya menaik taraf kebolehan bakat tempatan.

MBOT telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan Majlis Pembangunan Profesional Teknologi dan Teknikal (TPDC) bertujuan membangunkan kerangka jaminan mutu dan pensijilan kursus jangka pendek yang menyeluruh dalam bidang teknologi dan teknikal.

Terdapat juga keperluan agar memenuhi permintaan industri yang semakin berkembang untuk menghasilkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Pada masa ini, tiada badan khusus memastikan jaminan mutu kursus jangka pendek yang ditawarkan, justeru MBOT melalui mandat daripada Akta Teknologis dan Juruteknik 2015 (Akta 768), telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan TPDC bagi menilai aspek seperti mutu pengajar, kandungan dan pendekatan kursus serta aspek penilaian.

Chang berkata menerusi kerangka TPDC, latihan yang diberikan kepada pekerja Malaysia bukan saja diiktiraf oleh industri tempatan, malah juga memenuhi piawaian profesional yang ditetapkan.-9/1/2025 OLEH AHMAD SAUQI ABDUL RAZAK

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button