Ekonomi semakin rancak… jumlah penganggur di Malaysia menurun – DOSM

Penurunan kadar pengangguran di Malaysia kepada 3.6 peratus mencerminkan pasaran buruh negara bertambah baik dan semakin rancak.
Tinjauan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada data November 2022 ini memperlihatkan terdapat pengurangan 1,100 penganggur (0.2%) berbanding bulan sebelumnya. Ini bermakna jumlah penduduk bekerja di Malaysia telah naik kepada 16.11 juta individu.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, dalam kenyataan pada 10 Januari berkata prestasi ekonomi negara yang kukuh menjelang penghujung 2024, membolehkan pasaran pekerja negara mengekalkan pertumbuhan yang stabil.
Beliau berkata bilangan tenaga pekerja pada November lalu pula terus mengukuh dengan kenaikan sebanyak 0.1 peratus merekodkan 17.29 juta orang berbanding 17.27 juta orang pada Oktober.
Menurutnya, bilangan penduduk bekerja juga menunjukkan trend yang bertambah, merekodkan peningkatan sebanyak 0.2 peratus kepada 16.75 juta orang pada November lalu, berbanding 16.72 juta orang pada Oktober.

“Sementara itu, bilangan penganggur terus berkurang kepada 546,700 orang, turun sebanyak 0.9 peratus daripada 551,400 orang pada Oktober lalu.
“Kadar pengangguran bagi November lalu pula kekal pada 3.2 peratus, seperti pada bulan sebelumnya (Oktober),” katanya.
Mengulas lanjut berhubung kedudukan guna tenaga, Dr Mohd Uzir berkata pada November lalu, 74.9 peratus daripada jumlah penduduk bekerja berada dalam kategori pekerja, merekodkan peningkatan 0.1 peratus kepada 12.54 juta orang berbanding 12.53 juta pada Oktober 2024.
Trend positif turut dilihat dalam kategori penduduk bekerja sendiri yang meningkat 0.4 peratus kepada 3.11 juta orang berbanding 3.10 juta orang pada Oktober lalu.
“Bagi sektor ekonomi pula, perkhidmatan terus merekodkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja, terutamanya dalam kegiatan perdagangan borong dan runcit, pengangkutan dan penyimpanan serta maklumat dan komunikasi.
“Trend yang sama (iaitu meningkat) dalam bilangan guna tenaga juga dilihat dalam sektor pembuatan, pembinaan dan pengkuarian, dan pertanian pada November 2024,” katanya.

Berhubung situasi pengangguran bagi tempoh sama, Dr Mohd Uzir berkata daripada jumlah bilangan penganggur pada November 2024, sekitar 79.8 peratus adalah individu yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif.
Beliau berkata kategori itu merekodkan penurunan sebanyak 0.9 peratus iaitu 436,200 orang berbanding 440,000 orang pada Oktober 2024.
“Mengikut tempoh pengangguran bagi penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan meliputi 62.6 peratus, manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun adalah sebanyak 6.0 peratus.
“Begitu juga, penganggur tidak aktif, atau mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia, turun sebanyak 0.7 peratus kepada 110,600 orang berbanding 111,400 pada Oktober 2024.” katanya.-12/1/2025 OLEH AHMAD SAUQI ABDUL RAZAK