Wednesday - 5, February 2025

Lima lelaki dituduh miliki bahan lucah, cabul kanak-kanak

Share

Ketegasan kerajaan melindungi kumpulan rentan terutama kanak-kanak terserlah selepas lima lagi lelaki berdepan tuduhan di mahkamah di Johor dan Putrajaya, kerana memiliki bahan lucah dan pornografi, selain terbabit kes cabul dan pengantunan seksual kanak-kanak (sexual grooming).

Dalam kes di Mahkamah Sesyen Muar, Johor, pada 15 Januari, lelaki berusia 19 tahun yang juga bekas pelajar sebuah kolej kemahiran didenda RM5,000, selepas mengaku salah memiliki beberapa foto dan video lucah seorang remaja perempuan di Kluang, Johor, pada Julai 2024.

Hakim Sayani Mohd Nor turut memerintahkan penghantar makanan yang dituduh memiliki bahan penganiayaan seksual remaja berusia 16 tahun itu dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Tertuduh didakwa mengenali mangsa melalui Telegram sebelum berjumpa di Dataran Kluang pada 4 petang, 21 Jun 2024.

Dia kemudian membawa mangsa ke rumahnya lalu merakam video bogel dan membuat ugutan, menyebabkan mangsa yang ketakutan membuat laporan polis pada 2 Julai.

Dalam satu kes lain di mahkamah yang sama, seorang warga emas dari India dituduh melakukan serangan seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan berusia 10 dan 12 tahun di sebuah surau di Segamat, Johor, pada 4 Januari.

Berdasarkan laporan dibuat, sebelum kejadian kedua-dua mangsa bersama seorang lagi rakan lelaki bermain di taman permainan sebelum ke surau terbabit untuk minum kerana kehausan.

Ketika itu, tertuduh yang berada di surau terbabit mendekati mangsa dan menghulurkan wang RM1 seorang sebelum mengambil kesempatan melakukan perbuatan itu terhadap mangsa perempuan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Shaikh Faroouqe Nabisaheb, 59 tahun, kerana tidak memahami tuduhan yang dikemukakan dalam bahasa Melayu di hadapan Hakim Sayani.

Di Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak di Putrajaya pada 14 Januari pula, tiga lelaki didakwa atas tuduhan berkomunikasi secara seksual dengan kanak-kanak, pengantunan seksual dan memiliki video pornografi.

Pembantu restoran, Mustafa Kasim, 29 tahun, berdepan tiga tuduhan berkomunikasi secara seksual terhadap kanak-kanak dengan meminta gambar lucah pada Disember 2022 menerusi WhatsApp dan memiliki video pornografi kanak-kanak.

Pengurus syarikat, Tan Lye Synn, 41 tahun, dan Phoon Mun Tat, 39 tahun, pula didakwa memiliki bahan pornografi kanak-kanak di sebuah rumah di Selangor pada 23 Disember 2024.-16/1/2025

Ketiga-tiga suspek membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Datin M Kunasundary dan dibenarkan diikat jamin.-16/1/2025

Read more

khabar terbaru