Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS)pada Jumaat mengesahkan undang-undang yang akan mengharamkan penggunaan TikTok di negara ini melainkan syarikat induknya yang berpangkalan di China, ByteDance, melupuskan kepentingannya dalam aplikasi media sosial popular yang digunakan hampir 200 juta rakyat Amerika, lapor Agensi Anadolu.
Pelupusan itu dijangka tidak berlaku kerana tarikh akhir pengharaman TikTok adalah Ahad ini, 19 Jan.
Bagaimanapun, tarikh itu hanya sehari sebelum Donald Trump mengangkat sumpah sebagai Presiden, dan pentadbiran Joe Biden telah memberi isyarat bahawa ia tidak bercadang untuk menguatkuasakan undang-undang berkenaan sebelum Trump mengangkat sumpah jawatan.
Mahkamah tertinggi negara ini memutuskan bahawa ultimatum pelupusan atau diharamkan tidak melanggar hak kebebasan bersuara dan ekspresi di bawah Pindaan Pertama Perlembagaan AS, sejajar dengan pendirian pentadbiran Biden, walaupun Trump sebelum ini menggesa mahkamah itu menangguhkan tarikh akhir berkenaan untuk membolehkan beliau merundingkan penyelesaian bagi mengekalkan TikTok di AS.
“Tidak diragukan bahawa bagi lebih 170 juta rakyat Amerika, TikTok menyediakan platform unik dan meluas untuk ekspresi, interaksi, serta sumber komuniti,” kata mahkamah dalam pendapat tanpa tandatangannya.
“Namun, Kongres telah menentukan bahawa pelupusan adalah perlu untuk menangani kebimbangan keselamatan negara berkaitan amalan pengumpulan data TikTok dan hubungannya dengan pihak asing yang dianggap musuh.
Di bawah keadaan ini, kami mendapati justifikasi pengumpulan data oleh kerajaan adalah mencukupi untuk menyokong peruntukan yang dicabar,” menurut keputusan itu.
Undang-undang bipartisan itu, yang diluluskan oleh Kongres dan ditandatangani Biden pada April lepas, memberikan ByteDance tempoh 270 hari untuk melupuskan kepentingannya dalam TikTok atau diharamkan di AS.
Keputusan sama ada untuk mengekalkan TikTok beroperasi atau menguatkuasakan larangan itu kini terletak di tangan Trump apabila beliau secara rasmi memegang jawatan presiden.
Trump sebelum ini menunjukkan simpati terhadap TikTok menjelang larangan itu, dan Ketua Pegawai Eksekutif TikTok, Shou Zi Chew, dijadual menghadiri majlis pelantikannya, menurut laporan.
Terdapat juga laporan bahawa Trump sedang mempertimbangkan untuk menand
Sementara itu, Rumah Putih pada Jumaat menyatakan bahawa TikTok harus kekal boleh diakses rakyat Amerika Syarikat, tetapi waktu pelaksanaan keputusan Mahkamah Agung mengenai undang-undang yang mengharamkan aplikasi itu kini menjadi tanggungjawab pentadbiran Donald Trump.
“TikTok harus kekal boleh diakses rakyat Amerika, tetapi dengan pemilikan Amerika atau pihak lain yang mampu menangani kebimbangan keselamatan negara yang dikenal pasti oleh Kongres semasa membangunkan undang-undang ini.
Berdasarkan faktor masa, pentadbiran ini mengakui bahawa tindakan untuk melaksanakan undang-undang itu perlu dilakukan oleh pentadbiran seterusnya, yang akan memulakan tugas pada Isnin,” menurut Rumah Putih dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Presiden Terpilih Amerika Syarikat Donald Trump, pada Jumaat menyatakan beliau mengadakan perbualan telefon yang “sangat baik” dengan Presiden China, Xi Jinping.
Trump mengumumkan perbualan itu menerusi akaun Truth Social miliknya, sambil menyuarakan keyakinan terhadap kemampuan mereka untuk menangani isu-isu penting secara bersama, menurut laporan Agensi Anadolu.
“Perbualan itu sangat baik untuk kedua-dua China dan Amerika Syarikat. Saya menjangkakan bahawa kita akan dapat menyelesaikan banyak masalah bersama, bermula dengan segera,” katanya.
Beliau berkata perbualan itu merangkumi beberapa isu utama seperti perdagangan, fentanyl, dan TikTok.
“Presiden Xi dan saya akan melakukan segala yang mungkin untuk menjadikan dunia lebih aman dan selamat!” katanya.-18/1/2025