FOKUS

Jabatan Peguam Negara fail permohonan gag order Titah Adendum…

Kini samaada nanti ada atau tidak perintah larangan yang kini lebih popular disebut ‘gag order’ untuk cakap dan bincang Titah Adendum berkaitan isu tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak terletak sepenuhnya atas budibicara mahkamah.

Sekalipun wujud polimek hangat dimana banyak pihak menentang langkah mengadakan larangan berkenaan, namun Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak berganjak dari pendiriannya.

Pihak AGC telah failkan permohonan gag order itu melalui e-filing pada jam 7.45 Isnin malam.

Ia disahkan oleh Timbalan Ketua Bahagian Sivil AGC, Shamsul Bolhassan pada media.

Pada 13 Januari lalu, Shamsul memberitahu media, pihaknya akan memfailkan permohonan itu dengan alasan untuk melindungi Institusi Diraja kerana perkara itu menyentuh isu sensitif iaitu raja, agama dan kaum (3R).

Namun ada pihak merasakan perlu apa lagi sekatan cakap isu Titah Adendum kerana ia sudah menjadi dokumen awam dan dibincangkan meluas kebelakangan ini.

Pada 6 Januari lalu, Najib berjaya mendapat kebenaran Mahkamah Rayuan memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab atau mengesahkan kewujudan Titah Adendum oleh Yang Dipertuan Agong ke 16 pada hujung Januari tahun lalu.

Beliau juga memohon pelaksanaan titah tambahan berkenaan yang didakwa membenarkannya menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Gag order itu dikatakan antara lain menghalang mana-mana pihak termasuk media daripada menerbitkan atau menyiarkan apa-apa bentuk komunikasi sama ada secara cetak, elektronik, digital dan platform media sosial mengenai isu berkenaan.

Ia juga bagi menghalang semua pernyataan, komen atau perbincangan yang meragui, mempersoalkan, mencabar atau menghina kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Selain itu perintah larangan itu juga bagi menghalang spekulasi yang boleh menjejaskan kredibiliti, keabsahan atau integriti keputusan, fungsi dan kuasa Lembaga Pengamunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.

Pada 29 Januari tahun lepas, Lembaga Pengampunan dipengerusikan Yang Dipertuan Agong ke 16 kurangkan separuh hukuman terhadap Najib daripada penjara 12 tahun kepada enam tahun dan denda RM210 juta kepada RM50 juta.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu mendakwa terdapat titah tambahan baginda yang membenarkan beliau menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Najib disabitkan atas salah guna kuasa membabitkan dana RM42 juta milik SRC International, pecah amanah dan kes pengubahan wang haram.- 20/1/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button