Sunday - 20, April 2025

Jauhi tiga pantai di Pahang, elak bahaya obor-obor beracun

Share

Musim cuti sekolah ramai yang nak bawa keluarga berehat tepi pantai, mandi manda, berkelah bersama… tapi kalau anda di Pahang nanti dulu!

Sekurang-kurangnya tiga pantai di tiga daerah yang wajib anda dan keluarga jauhi bukan kerana bahawa ombak besar dan arus kuat ketika musim monsum ini, tetapi penemuan obor-obor beracun yang boleh menyebabkan kematian.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar, berkata pihaknya mengesahkan obor-obor beracun daripada spesis Portuguese Man o’ War atau nama saintifiknya physalia physalis ditemui terdampar di Pantai Hiburan (Rompin); Pantai Lagenda (Pekan) dan Pantai Sepat (Kuantan) dalam jumlah besar.

Abdullah berkata setakat ini hanya spesis itu yang ditemui pegawai perikanan di tiga daerah berkenaan.

Bagaimanapun, katanya pegawai Jabatan Perikanan Pahang akan menjalankan pemantauan dan tinjauan dari semasa ke semasa di pantai terbabit.

“Dalam tempoh Monsun Timur Laut (MTL) ketika ini, Jabatan Perikanan menasihati orang ramai supaya menjauhi kawasan pantai kerana bahaya ombak besar dan arus kuat, selain mengelakkan risiko jika terdapat obor-obor berbahaya.

“Antara spesis itu ialah Portuguese Man o’ War dan cubozoan jellyfish atau box jellyfish yang sengatannya sangat beracun dan boleh mendatangkan kesan kecederaan serius atau mungkin menyebabkan kematian.

“Peringatan juga diberikan kepada pihak bertanggungjawab di peringkat daerah dan melalui media sosial Jabatan Perikanan Pahang,” katanya.

Sebelum ini pada 13 Januari lalu, obor-obor beracun itu ditemui terdampar di tiga pantai berkenaan.

Malah, beberapa kawasan pantai lain di Terengganu dan Kelantan turut dilaporkan ‘dipenuhi’ obor-obor beracun itu dan penduduk dinasihatkan berwaspada dengan tidak menyentuh haiwan berkenaan.

Difahamkan, kehadiran obor-obor berkenaan dipercayai akibat daripada fenomena air pasang besar dan pihak berkuasa di negeri terbabit telah mengeluarkan amaran buat orang ramai menghindari kawasan pantai terbabit.

Pada Februari dan Mac 2024, enam kes sengatan obor-obor jenis sama direkodkan berlaku di perairan Kelantan dan lima kes di Terengganu membabitkan kanak-kanak dan orang dewasa.

Mangsa yang terkena sengatan mengalami gejala kesakitan, bengkak dan gatal-gatal pada tempat sengatan.

Menurut Jabatan Kesihatan, tiada antivenom untuk bisa yang disebabkan sengatan obor-obor spesies berkenaan dan rawatan yang diberikan hanyalah untuk melegakan gejala.-21/1/2025

Read more

khabar terbaru