MCMC akan lancar ‘chatbot’ bagi sahkan maklumat disebar di media sosial benar atau tidak…

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membangunkan satu ‘chatbot’ bagi mengesahkan maklumat disebarkan di media sosial sama ada betul atau tidak.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ‘chatbot’ berkenaan akan dilancarkan dalam masa terdekat.
Pendekatan itu merupakan salah satu usaha kementerian bagi membantu pengguna membuat pengesahan tentang sebarang maklumat yang mereka terima dalam media sosial termasuk Whatsapp, sekali gus menangkis berita tidak benar.
Menurut beliau, ketika ini portal Sebenarnya.my yang dikendalikan MCMC berperanan sebagai sebuah pusat sehenti bagi orang ramai menyemak dan menyalurkan berita yang tidak ditentukan kesahihannya, yang diterima secara dalam talian melalui platform media sosial, perkhidmatan mesej segera, blog, laman sesawang dan lain-lain dalam bentuk teks.

Aplikasi Chatbot di saluran Whatsap itu nanti akan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memastikan sebarang video atau grafik yang dihantar melalui media sosial itu benar atau sebaliknya.
“Sebenarnya.my akan ada satu Chatbot Whatsapp yang kita boleh forward mesej kepadanya dan AI itu akan jawab sama ada maklumat ini sahih atau tidak. Waktu ini ia masih berasaskan teks tetapi saya sudah minta pasukan untuk teliti maklumat video.
“Contohnya sebab kadang-kadang orang hantar video ia muat turun daripada sumber kita tidak tahu daripada mana, tetapi ia berlegar dan sampai dan tidak ada pengesahan. Jadi ini salah satu usaha kita untuk bantu pengguna untuk membuat pengesahan tentang sebarang maklumat yang mereka terima dalam media sosial termasuk Whatsapp,” kata Fahmi.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama Ketua-ketua Biro agensi media serta Kelab Media Kelantan Darulnaim (KEMUDI) di Ayang Cafe, di Kota Bharu.
Fahmi berkata, sebarang maklumat yang diperoleh orang ramai di media sosial boleh disahkan kesahihannya dengan merujuk perkara itu menerusi media arus perdana.
“Apa yang kita tonton dalam media sosial ada yang betul dan sebaliknya. Jadi, maklumat itu boleh disahkan menerusi media arus perdana kerana wartawan menyampaikan maklumat rasmi saja,” katanya.-21/1/2025 OLEH AHMAD SAUQI ABDUL RAZAK