Penguasaan usahawan Bumiputera dalam industri halal masih rendah rendah apabila sekitar 70 peratus daripada lebih 9,000 syarikat pemegang pensijilan halal di negara ini adalah daripada kalangan bukan Bumiputera.
Pengerusi Halal Development Corporation Bhd (HDC), Khairul Azwan Harun, berkata faktor mendorong keadaan itu adalah disebabkan sektor pengeluaran atau perkilangan terutamanya berasaskan makanan yang secara tradisinya dikuasai oleh bukan Bumiputera.
Katanya, menjadi cabaran kepada HDC untuk mencari lebih ramai usahawan Bumiputera yang terbabit dalam sektor pengeluaran produk makanan yang memerlukan pensijilan halal terutamanya dalam usaha membangunkan ekosistem industri halal bagi eksport produk halal tempatan untuk berada di pasaran global.
“Saya hendak tekankan supaya tiada spekulasi, iaitu bahawa ekonomi di Malaysia dalam sektor pengeluaran dan perkilangan memang secara tradisinya dikuasai oleh bukan Bumiputera. Maka semestinya ia akan juga menguasai jumlah syarikat yang memperoleh pensijilan halal.
“Namun, persepsi kena diuruskan supaya tidak dilihat seolah-olah pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang mengeluarkan pensijilan itu hanya memberi keutamaan kepada bukan Melayu.
“Maka, menjadi cabaran kepada HDC untuk kita mencari lebih ramai usahawan Melayu atau Bumiputera untuk terbabit dalam bidang dalam sektor pengeluaran produk makanan yang memiliki pensijilan halal,” katanya kepada wartawan selepas merasmikan satu majlis di Kampung Gajah, Perak.
Berita Harian melaporkan Khairul Azwan berkata kerjasama HDC dan Jakim dalam mempercepat dan mempermudahkan proses permohonan pensijilan halal sememangnya sudah bermula terutama dalam membantu pemohon mendapatkan garis panduan yang disyaratkan.
“HDC berperanan membantu pemohon terutama syarikat pengeluar untuk memastikan permohonan mereka itu lengkap dan berkualiti sebelum diajukan kepada pihak Jakim. Ia memandangkan sering berlaku yang mana pemohon datang tanpa sokongan yang cukup dan tidak lengkap.
“Contohnya untuk sektor pengeluaran, sebelum hendak memohon sijil halal perlu ada pensijilan lain dahulu seperti Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP), atau Mesti (Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri).
“Jadi, HDC akan bantu dari segi memperkasa syarikat tempatan yang hendak pergi masuk ke pembangunan pensijilan halal itu supaya juga diberi keupayaan dan kemampuan supaya boleh menepati tempoh 30 hari masa yang diambil Jakim untuk memproses permohonan sijil halal dari tarikh dokumen permohonan diterima,” katanya.-21/1/2025