Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menganjurkan majlis minum petang bagi meraikan Presiden Indonesia Prabowo Subianto di mercu tanda ikonik, Menara Berkembar PETRONAS KLCC hari ini.
Dengan pemandangan indah latar langit Kuala Lumpur dari tingkat 40 Menara 1, kedua-dua pemimpin dijadualkan meluangkan masa kira-kira satu jam menjamu selera sambil berbual secara santai.
Dalam ucapannya Anwar menyifatkan Prabowo sebagai seorang sahabat ketika susah dan senang.
Anwar berkata, Prabowo tidak pernah meninggalkan beliau ketika melalui fasa duka lara beberapa tahun lalu.
“Beliau dekat dengan saya dalam masa susah senang, beliau di antara sahabat setia saya.
“Sentiasa memerhatikan dan mengambil berat dalam masa duka lara saya yang panjang,” katanya.
Beliau turut berkata, tidak ramai yang boleh dicatat kehebatan dan keikhlasan dalam bersahabat.
“Tidak ramai yang kita boleh catat kehebatan dan keikhlasan mereka dan saya senaraikan Prabowo terkecuali dalam hal ini.
“Ini dapat dilihat atas kedekatan dan kesungguhan beliau yang menimbulkan ketidaksenangan dan kemarahan pihak tertentu,” katanya.
Selain delegasi Indonesia, majlis itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Hadir sama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad, serta pegawai kanan kerajaan dan wakil perniagaan dari kedua-dua negara.
Terdahulu, Anwar dan Prabowo mengadakan pertemuan dua hala di sini dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Antara topik dibincangkan ialah pelaburan dan perdagangan, pertahanan, pembangunan kapasiti, kesalinghubungan dan kerjasama dalam ASEAN.
Sebagai jiran rapat yang mempunyai hubungan kukuh dan ahli pengasas ASEAN, lawatan negara ini mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan strategik demi kemakmuran bersama.
Hubungan itu merentasi pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi, pertahanan, kesalinghubungan, pendidikan dan sosiobudaya.
Dari Januari hingga November 2024, jumlah perdagangan dua hala antara kedua-dua negara mencatat RM106.06 bilion (US$23.2 bilion), meningkat daripada RM101.99 bilion (US$22.41 bilion) yang direkodkan dalam tempoh sama pada 2023.
Pada 2023, Indonesia merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia pada peringkat global dan ketiga terbesar dalam ASEAN, dengan jumlah perdagangan sebanyak RM111.21 bilion (US$24.39 bilion).-27/1/2025
BERITA SEBELUM INI
Prabowo disambut di Istana Negara, terima pingat kerabat Johor dari Agong
Presiden Indonesia Prabowo Subianto diberikan sambutan negara penuh istiadat di Istana Negara hari ini bersempena dengan lawatan negara atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Ketibaan Prabowo pada 10 pagi, disambut Seri Paduka Baginda.
Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, serta menteri Kabinet.
Istiadat sambutan negara yang berlangsung di Dataran Kawad Istana Negara dimulakan dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara yang dimainkan oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja disusuli tembakan meriam 21 das daripada 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja.

Presiden Indonesia itu kemudian memeriksa Kawalan Kehormatan Utama yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja diketuai Mejar Azham Mohamad.
Selepas istiadat rasmi, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap Prabowo di Dewan Seri Maharaja dan beliau dikurniakan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati I, disusuli dengan persembahan cenderakenangan.
Menerusi catatan di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pengurniaan D.K.1 kepada Prabowo berlangsung di Istana Negara, di sini dan disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Yang Mulia Bapak Prabowo merupakan sahabat karib Seri Paduka Baginda yang dikenali lebih 40 tahun, sejak zaman latihan ketenteraan di Amerika Syarikat pada 1980-an,” menurut catatan itu.
Lawatan ini ialah lawatan negara yang pertama oleh seorang ketua negara asing ke Malaysia sejak Sultan Ibrahim menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Seri Paduka Baginda turut berkenan menjadi tuan rumah Majlis Santapan Negara bagi meraikan Presiden Indonesia itu dan delegasinya.
Wisma Putra dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan lawatan ini ialah lawatan negara pertama oleh seorang ketua negara asing ke Malaysia, selepas pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Ia juga merupakan lawatan negara pertama oleh Prabowo ke negara Asia Tenggara sejak pelantikannya sebagai Presiden Indonesia pada 20 Okt 2024.
Dalam lawatan ini, beliau dijadualkan bertemu dengan Perdana Menteri untuk saling bertukar pandangan mengenai kerjasama dua hala, di samping membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama, di Menara Berkembar Petronas di ibu negara.
Sebagai jiran rapat yang mempunyai hubungan kukuh dan ahli pengasas ASEAN, lawatan negara ini mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan strategik demi kemakmuran bersama. Hubungan itu merentasi pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi, pertahanan, kesalinghubungan, pendidikan dan sosiobudaya.
Dari Januari hingga November 2024, jumlah perdagangan dua hala antara kedua-dua negara mencatat RM106.06 bilion (US$23.2 bilion), meningkat daripada RM101.99 bilion (US$22.41 bilion) yang direkodkan dalam tempoh sama pada 2023.
Pada 2023, Indonesia merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia pada peringkat global dan ketiga terbesar dalam ASEAN, dengan jumlah perdagangan sebanyak RM111.21 bilion (US$24.39 bilion).-27/1/2025
BERITA SEBELUM INI

Prabowo tiba di Malaysia untuk lawatan negara atas jemputan Agong
Presiden Indonesia Prabowo Subianto tiba awal pagi Isnin bagi memulakan lawatan negara atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Pesawat yang membawa beliau mendarat di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada pukul 5.50 pagi.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad hadir bagi menyambut ketibaan Prabowo bersama delegasinya, yang terdiri daripada beberapa menteri Kabinet Indonesia dan pegawai kanan kerajaan.
Sebaik tiba Prabowo memeriksa barisan kawalan kehormatan oleh 28 pegawai dan anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) yang diketuai Kapten Muhammad Syafiq Najmi Mazlan.
Wisma Putra dalam kenyataan berkata Prabowo akan diberikan sambutan negara, sebelum menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara.
Seri Paduka Baginda turut berkenan menjadi tuan rumah Majlis Santapan Negara bagi meraikan Prabowo dan delegasinya.
Dalam lawatan ini Prabowo juga dijadual bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk saling bertukar pandangan mengenai kerjasama dua hala di samping membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama di Menara Berkembar Petronas di ibu negara.
Sebagai jiran rapat yang mempunyai hubungan kukuh dan ahli pengasas ASEAN, lawatan negara ini mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk meningkatkan hubungan dua hala ke tahap yang lebih tinggi demi kemakmuran dan kemajuan kedua-dua negara dan rantau ini secara amnya.
Hubungan strategik Malaysia dan Indonesia merangkumi kerjasama menyeluruh merentasi pelbagai bidang, termasuk politik, ekonomi, pertahanan, kesalinghubungan, pendidikan dan sosiobudaya.
Dari Januari hingga November 2024, jumlah perdagangan dua hala antara kedua-dua negara mencatat RM106.06 bilion (US$23.2 bilion), meningkat daripada RM101.99 bilion (US$22.41 bilion) yang direkodkan dalam tempoh sama pada 2023.
Pada 2023, Indonesia merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam ASEAN, dengan jumlah perdagangan sebanyak RM111.21 bilion (US$24.39 bilion).-27/1/2025