Malaysia negara pertama ambil langkah ini untuk atasi jurang liputan komunikasi…

Malaysia merupakan negara pertama yang mewujudkan perjanjian persefahaman antara pelbagai syarikat telekomunikasi bagi mengatasi masalah jurang liputan dan memastikan setiap lapisan masyarakat di negara ini dapat menikmati akses komunikasi yang lebih baik.
Dibawah inisiatif baru itu tumpuan diberikan kepada kawasan liputan lemah seperti lebuh raya, universiti awam, hospital, kawasan pelancongan, stadium, lokasi acara serta penempatan tentera dan polis.
Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada Isnin melancarkan Garis Panduan Perkongsian Rangkaian dan Infrastruktur Telekomunikasi menerusi inisiatif Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (MOCN) 6 Hala.
Ia dilancarkan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil di Kuala Pilah.

Fahmi kata inisiatif itu dapat mempertingkat kerjasama antara Operator Rangkaian Mudah Alih (MNO) untuk memaksimumkan penggunaan sumber selain memastikan kesalinghubungan lebih menyeluruh.
“Pendekatan itu bukan sahaja membantu operator telekomunikasi meningkatkan kecekapan operasi, malah mempercepatkan penyediaan perkhidmatan 4G berkualiti tinggi untuk dinikmati rakyat,” katanya.
Menurut Menteri itu garis panduan ini membolehkan kerjasama yang erat dan lebih pantas dan juga lebih jelas.
“Terima kasih kepada rakan-rakan telco, Celcom, Digi, Maxis, U Mobile, TM dan YTL Communications. Saya difahamkan setakat ini belum ada negara di dunia yang syarikat bersaing sesama mereka mewujudkan satu kerangka yang membolehkan mereka bekerjasama seperti ini.
“Malaysia merupakan negara pertama di dunia membolehkan semua syarikat telco melaksanakan cara sedemikian. Projek ini membuktikan syarikat telco boleh bekerjasama… usaha ini dapat membantu kawasan luar bandar, terpencil mendapat akses Internet yang baik dan meningkatkan kesalinghubungan,” katanya. -27/1/2025