FOKUS

Tanah runtuh Miri… Kisah duka awal Tahun Baharu Cina

Ketika masyarakat Cina di Sarawak baru memulakan sambutan Tahun Baharu Cina, keadaan di Kampung Lereng Bukit, Miri dilanda duka susulan kejadian tanah runtuh awal pagi tadi yang meragut lima nyawa.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang bermula pada 3.03 pagi berakhir pada 6.50 petang dengan penemuan mangsa terakhir seorang wanita dewasa pada 6.06 petang yang berjaya dikeluarkan 20 minit kemudian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata lima mangsa yang terkorban ialah Sazarena Arabi, 41, Fatimah Dawi, 71, Irsyad Syairah, 16, Nur Raisyah Syahirah, 8, dan Nur Rania Syafiqah, 11.

Semua mangsa tinggal serumah dan dua lagi penghuni rumah berkenaan iaitu Nur Irsalina Syairah, 17, mengalami kecederaan patah kaki kanan dan sedang menerima rawatan, manakala Arabi Samsudin, 71, tidak mengalami kecederaan.

Lima sekeluarga yang tinggal di sebuah lagi rumah terbabit dalam insiden itu terselamat iaitu Muhammad Mahmud, 60, Nur Athirah Nabinah, 29, Nur Afiqah 29, dan Nur Aqilah Nadirah, 18, manakala Massahan Mustafa, 58, cedera ringan di kaki kiri.

Sementara itu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) untuk memantau kawasan berisiko mengalami tanah runtuh, terutama membabitkan kawasan lereng bukit di Miri.

Arahan itu menurut beliau susulan bagi membendung tragedi serupa tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit di Miri pada awal pagi Rabu berlaku juga di kawasan lain di Bandaraya berkenaan.

“Saya telah meminta (Timbalan Premier Sarawak yang juga Pengerusi JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas untuk memantau keadaan cuaca di negeri ini bagi tempoh dua hingga tiga hari ini kerana laporan yang dikeluarkan oleh Meteorologi ada menyatakan ramalan hujan sehingga 31 Januari ini,” kata beliau.

Dalam pada itu, Abang Johari menegaskan bahawa kerajaan negeri akan meningkatkan pemantauan dan langkah pencegahan di kawasan yang berisiko mengalami tanah runtuh, terutamanya di kawasan berbukit dan tanah tinggi yang terdedah kepada hujan lebat berterusan.

Abang Johari turut memberi jaminan bahawa kerajaan Sarawak akan memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

Tragedi berkenaan mendapat perhatian Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, yang merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta menzahirkan rasa dukacita terhadap insiden itu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, turut berdukacita dengan kejadian menyayat hati yang berlaku ketika sambutan Tahun Baharu Cina dan meminta orang ramai agar berwaspada susulan amaran hujan berterusan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) di beberapa kawasan di Sarawak dan Sabah hingga Jumaat ini.-30/1/2025

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button