Saturday - 15, February 2025

Isu WBB terus panas… Persatuan PTD tak boleh terima kritikan bekas Menteri Kesihatan

Share

Isu Waktu Bekerja Berlainan (WBB) terus hangat diperkatakan walaupun keputusan Kabinet sudah jelas iaitu tidak dilaksanakan.

Ini selepas ulasan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengenai isu tersebut telah ‘melukakan hati’ pegawai tadbir dan diplomatik (PTD).

Berikutan itu, Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) membidas ulasan Khairy, bahawa pegawai PTD hanyalah ‘sekumpulan yang melihat pada helaian Excel’ tanpa memahami realiti yang berlaku dalam sektor kesihatan.

Presidennya, Datuk Awang Alik, berkata tuduhan itu, yang dikaitkan dengan sistem WBB, disifatkan sama sekali tiada asasnya, sekali gus tidak menggambarkan proses sebenar penggubalan dasar kerajaan.

Awang sebaliknya berkata, PTD sentiasa memainkan peranan yang profesional, berasaskan data serta mengambil kira realiti operasi dalam merangka dan melaksanakan dasar, termasuk dalam sektor kesihatan.

“Tuduhan PTD gagal memahami cabaran sektor kesihatan bukan sahaja tidak adil, tetapi juga tidak mencerminkan realiti sebenar pentadbiran kerajaan.

“Semua pihak perlu lebih memahami proses perumusan dasar sebelum membuat kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat.

“Kerjasama antara semua pihak berkepentingan, termasuk pegawai perubatan dan PTD, adalah kunci dalam memastikan sebarang dasar yang diperkenalkan benar-benar memberi manfaat kepada semua pihak tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan awam negara,” katanya melalui kenyataan, pada Rabu.

Khairy, melalui podcast ‘Keluar Sekejap’, mengaitkan kegagalan sistem WBB bagi petugas kesihatan dengan jurang pemahaman dalam kalangan birokrat di Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap realiti amalan perubatan.

Khairy dilaporkan mengkritik proses membuat keputusan, sambil menegaskan bahawa ia dilaksanakan oleh penjawat awam yang tidak mempunyai pemahaman praktikal mengenai operasi hospital.

Pada masa sama, Awang berkata, tidak adil untuk menuding jari kepada PTD semata-mata tanpa melihat kepada keseluruhan proses dan faktor yang mempengaruhi pelaksanaan sesuatu dasar, kerana setiap pelaksanaan perkara baharu pasti menghadapi cabaran serta ruang penambahbaikan.

Beliau berkata, pelaksanaan WBB bukan dibuat secara sewenang-wenangnya, sebaliknya melalui sesi libat urus yang menyeluruh dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk pegawai perubatan, pentadbir hospital dan kesatuan pekerja kesihatan.

“Pelaksanaan dasar ini turut dipandu oleh kajian mendalam serta amalan terbaik antarabangsa yang mengambil kira kesejahteraan pegawai perubatan tanpa menjejaskan kecekapan penyampaian perkhidmatan kesihatan.

“Sebagai penjawat awam yang terlatih dalam pembangunan dasar, PTD bertanggungjawab untuk memastikan keputusan dibuat berasaskan bukti dan kajian yang menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata, kenyataan media KKM yang menyatakan WBB adalah dasar yang dirangka oleh doktor untuk doktor, dan bukannya ditentukan secara unilateral oleh PTD di Putrajaya, membuktikan dakwaan golongan itu tidak memahami realiti sektor kesihatan adalah tidak tepat.

“Sebaliknya, peranan PTD adalah untuk memastikan dasar itu dapat dilaksanakan dengan baik dalam kerangka pentadbiran negara yang lebih luas.

“PTD sudah lama menjadi tunjang dalam membangunkan dasar utama negara, termasuk di sektor kesihatan.

“Kejayaan sistem kesihatan awam Malaysia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa adalah hasil kerjasama erat antara golongan profesional kesihatan dan PTD dalam memastikan dasar yang diperkenalkan adalah seimbang dan mampan,” katanya.-30/1/2025

Read more

khabar terbaru