Thursday - 10, July 2025

Makin buruk… lebih 12,000 mangsa banjir di Sabah, Sarawak

Share

Situasi banjir di Sabah dan Sarawak semakin buruk dengan keseluruhan mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri itu meningkat kepada 12,000 orang.

Di Sarawak, jumlah mangsa banjir di Sarawak setakat pagi ini mencecah seramai 7,760 orang daripada 2,185 keluarga dan ditempatkan di 54 pusat pemindahan sementara (PPS).

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, dua lagi PPS menempatkan 129 mangsa tanah runtuh di Miri manakala satu PPS menempatkan 37 mangsa kebakaran rumah panjang di Kanowit.

Ia sekali gus menjadikan jumlah PPS yang masih aktif di seluruh Sarawak kini sebanyak 56 dan menempatkan mangsa seramai 7,926 orang daripada 2,225 keluarga.

Daripada 41 PPS mangsa banjir, Serian mencatat jumlah tertinggi dengan 19 PPS, Bintulu dan Samarahan (sembilan), Miri (lapan), Sibu (lima), Kuching (empat).

Sementara itu, di Sabah pula, jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat kepada 4,383 orang daripada 1,475 keluarga malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan semua mereka ditempatkan di 34 PPS di 10 daerah dengan Kota Marudu menjadi daerah paling ramai iaitu 2,355 orang diikuti Telupid (413), Lahad Datu (360), Pitas (379), Kota Belud (297), Beluran (185), Sandakan (118), Paitan (120), Beufort (102) dan Tongod seramai 54 mangsa banjir.

Sementara itu, Banjir di Bintulu ketika ini disifatkan bencana terburuk pernah berlaku.

Beberapa kawasan di bandar Bintulu yang sebelum ini tidak pernah dilanda banjir, turut dinaiki air termasuk beberapa kawasan perumahan serta loji-loji penghasilan produk petrokimia.

Seorang penduduk Claire Fabian yang berkongsi kejadian banjir di Facebooknya berkata banjir di bandar itu terburuk pernah berlaku sejak dia menetap di kawasan berkenaan lebih 30 tahun lepas, selepas hujan lebat tidak berhenti selama dua hari.

“Ini kali pertama kawasan kediaman kami dilanda banjir, bukan alang-alang tetapi sampai peti sejuk, peti sejuk beku dan sofa hanyut,” katanya, sambil berkongsi video keadaan rumahnya yang dinaiki air hampir paras lutut.

Kejadian banjir khususnya di utara Sarawak itu mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memperkemas penyelarasan seluruh kekuatan jentera agensi Persekutuan dan negeri.

Anwar berkata keutamaan ketika ini adalah kebajikan mangsa banjir serta keselamatan penduduk di kawasan yang terkesan.-31/1/2025

Read more

khabar terbaru