Kes tenaga kerja Indonesia khususnya melibatkan mereka yang menyusup masuk secara haram menjadi isu yang menghangatkan hubungan Malaysia dengan negara jiran serumpun itu dari masa ke semasa.
Bila saja timbul isu ini ia antara lain diwarnai oleh suasana seperti berlaku depan Kedutaan Malaysia di Jakarta pada Jumaat.
Suasana depan bangunan kedutaan di Jl. H. R. Rasuna Said,Kuningan riuh dengan aksi demo sekitar 100 yang turut bergema dengan laungan ‘Ganyang Malaysia’.
Ada dikalangan mereka baling telur kerana menuntut keadilan atas insiden tembakan di perairan Tanjung Rhu, Banting,oleh anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada 24 Januari lalu.
Dalam kejadian itu seorang pendatang tanpa izin berasal dari Pulau Rupat,Riau terbunuh dan empat lain cedera.
Ikut ceritanya dalam kejadian pada jam 3 pagi itu anggota APMM bertindak balas lepas tembakan setelah bot mereka dilanggar empat kali oleh sebuah bot dipercayai milik suspek ketika menjalankan tugas rondaan di perairan situ.
Beberapa orang atas bot yang nak bawa pendatang tanpa izin keluar secara haram dari Malaysia dikatakan telah menyerang anggota APMM dengan senjata tajam.
Namun jurucakap mereka yang berdemo di depan Kedutaan Malaysia dakwa dari maklumat mereka dapat pendatang atas bot berkenaan tidak menyerang anggota APMM.
Mereka dakwa anggota APMM bertindak berlebihan dalam insiden itu dan menuntut kerajaan Malaysia ambil tindakan tegas termasuk penjarakan mereka yang bersalah.
Insiden ini turut mengundang reaksi Presiden Indonesia Prabowo Subianto yang minta supaya dijalankan siasatan yang rapi.
Presiden Prabowo baru saja mengadakan lawatan ke Malaysia pada minggu lalu.
Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur juga sudah menghantar nota diplomatik kepada kerajaan Malaysia.
Sementara itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengulas isu berkenaan pada satu majlis di Kuala Lumpur Jumaat memberikan jaminan kerajaan akan menjalankan siasatan yang rapi dan telus berhubung insiden itu.
Serentak iu beliau meminta semua pihak supaya tidak sewenang-wenangnya menjadi hakim dalam insiden berkenaan.
Anwar juga menasihatkan rakyat Malaysia untuk tidak melakukan sebarang tindak balas ekoran demonstrasi di hadapan Kedutaan Malaysia di Jakarta.
“Saya ikuti kenyataan Presiden (Indonesia) Prabowo Subianto yang tentunya prihatin, tetapi (beliau) minta supaya ada siasatan yang rapi.
“Indonesia adalah negara sahabat, jadi saya bagi jaminan siasatan kita akan cukup rapi, cukup telus dan tidak untuk melindungi sesiapa.
“Dan pagi tadi saya telah minta supaya laporan siasatan awal disampaikan ke Kedutaan Indonesia. Ini hanya berlaku kerana negara ini sahabat baik dan siasatan ini biar lengkap sepenuhnya, akan dibuat, diteliti oleh rakan-rakan kita di Indonesia,” katanya.
Sementara itu Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dalam sidang akhbar pada Jumaat berkata polis sedang mengesan dua lelaki warga Indonesia yang dipercayai menghantar tiga pendatang asing tanpa izin ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang selepas cedera dalam insiden tembakan itu.
Katanya pihaknya juga sedang mengesan beberapa lagi individu yang dipercayai berada di dalam bot ketika kejadian.
“Kita percaya selain lima orang iaitu satu (suspek) yang meninggal dunia dan empat lagi (cedera) masuk hospital, ada lagi yang berada di dalam bot itu mengikut saiz bot serta percakapan daripada saksi.
“Kita percaya mereka baru nak keluar dari perairan Malaysia ke seberang sana (Indonesia) menggunakan laluan yang tidak sah,” katanya.
Hussein pada 24 Januari lepas mengesahkan seorang maut dan empat cedera dalam kejadian tembak berkenaan dan mereka yang cedera dirawat di hospital di Klang dan Serdang.
Ia rentetan kes sebuah bot APMM Selangor dilanggar oleh sebuah bot dipercayai milik suspek (mereka yang cedera) ketika menjalankan tugas rondaan perairan di Tanjung Rhu pada 3 pagi hari yang sama.
Dalam pada itu, Hussein berkata kesemua suspek dipercayai terlibat dalam penyeludupan manusia dan mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Beliau berkata pihaknya hampir menyelesaikan siasatan kes itu dan telah merakam keterangan 14 pegawai serta anggota APMM.
“Dua daripada daripada empat suspek telah dirakam percakapan dan kes ini akan dirujuk ke pihak timbalan pendakwa raya (TPR) dalam masa terdekat untuk sebarang keputusan.
“Buat masa ini polis akan melengkapkan siasatan dengan siasatan di bawah Seksyen 307 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 39 Akta Senjata 1960,” katanya.
Berhubung tindakan APMM melepaskan tembakan, Hussein berkata agensi tersebut mempunyai prosedur operasi standard (SOP) sendiri untuk berbuat demikian sekiranya diancam.- 31/1/2025