Monday - 21, April 2025

Malaysia diiktiraf lima negara paling aktif wakaf al-Quran

Share

Malaysia kini diiktiraf sebagai antara lima negara utama yang aktif dalam program wakaf al-Quran di peringkat global.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini menunjukkan Malaysia bukan sahaja komited dalam memperkasakan wakaf al-Quran di dalam negara, malah memainkan peranan penting dalam mempromosikan dan menyebarkannya di peringkat global.

Beliau yang juga Penaung Wakaf al-Quran Peringkat Kebangsaan berkata, itu terbukti dengan kerjasama antara negara Persidangan Negara-Negara Islam (OIC) dalam penyediaan dan bahan pendidikan Islam juga semakin berkembang.

“Saya mengulangi komitmen kerajaan untuk memperkasakan syiar Islam melalui inisiatif Wakaf al-Quran yang dilihat mampu meluaskan akses dan menghidupkan

amalan berwakaf demi melahirkan generasi celik al-Quran yang memahami dan mengamalkan ajarannya, serta membina ummah dan negara Baldatun Toyyibah Wa Rabbun Ghafur.

“Bahkan, program Wakaf al-Quran oleh Yayasan Restu dan Majlis Agama Islam Negeri sudah menyumbangkan lebih 100,000 naskhah ke luar negara termasuk Indonesia, Thailand, Kemboja, China, dan Afrika Selatan.

“Di Malaysia, Waqaf Al-Quran bermula sejak 2007 dengan matlamat utama menyebarkan al-Quran kepada masyarakat yang kurang berkemampuan, sehingga kini dianggarkan lebih 500,000 naskah diwakafkan oleh pelbagai institusi dan organisasi di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sebelum melancarkan Program Wakaf al-Quran Peringkat Kebangsaan sempena Festival Seni Al-Quran Antarabangsa 2025 (ReQaf) di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, di sini malam ini.

Ahmad Zahid berkata, sebagai sebuah negara Islam yang progresif, Malaysia berpotensi besar untuk menjadi pusat percetakan dan pengedaran al-Quran terbesar di rantau ASEAN.

“Dengan adanya Kompleks Nasyrul Quran di Putrajaya, Malaysia memiliki fasiliti bertaraf antarabangsa dan mampu mencetak jutaan naskhah setiap tahun.

“Justeru, marilah kita bersama-sama menjayakan misi ini. Dengan tekad dan kesungguhan, kita mampu menjadikan Malaysia sebagai negara contoh dalam memperkukuhkan institusi wakaf dan pendidikan Islam,” katanya.

Pada majlis itu katanya, selain mengedarkan Mushaf Huffaz kepada anak tahfiz, inovasi baharu iaitu Mushaf Mufiq diperkenalkan.-1/2/2025

Read more

khabar terbaru