Wednesday - 5, February 2025

Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PKR mungkin tidak dipertandingkan pada pemilihan kali ini

Share

Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PKR menjadi perhatian bila timbul kemungkinan jawatan nombor satu yang kini disandang oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan nombor dua Datuk Seri Rafizi Ramli tidak akan dipertandingkan pada pemilihan parti Mei ini.

Kemungkinan itu disuarakan oleh Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri,Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.

Beliau memberi alasan langkah berkenaan untuk memastikan dalaman parti itu lebih tenang serta melancarkan khidmat bakti kepada rakyat memandangkan pilihan raya hanya berbaki kira-kira dua tahun lagi.

“Apa pun tidak ada keputusan dalam parti yang menghalang, tetapi kita di peringkat pimpinan ini tentulah ada perbincangan kerana kita ada agenda yang lebih penting,” katanya.

Beliau beritahu demikian demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Kembali Ke Sekolah Peringkat Parlimen Tambun 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Meru Raya di Ipoh pada Sabtu.

Pada 26 Januari lepas, Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh dilapor berkata parti itu akan mengadakan pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat bagi sesi 2025-2028 pada 24 Mei depan.

Perlembagaan PKR menghadkan cuma tiga penggal bagi seseorang jadi Presiden parti.

Anwar setakat ini sudah pegang jawatan Presiden PKR selama dua penggal.

Jika menang tanpa bertanding atau dipilih kali ini ia merupakan penggal terakhir beliau boleh pegang jawatan itu.

Beliau mula pegang jawatan Presiden pada tahun 2018 dan kemudian pada pemilihan 2022.

Namun Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil pernah menjelaskan Anwar boleh terus pegang jawatan Perdana Menteri selepas pilihanraya umum ke 16 sekalipun sudah jadi Presiden PKR tiga penggal.

Katanya Anwar pegang jawatan Perdana Menteri atas kedudukannya sebagai Pengerusi Pakatan Harapan dan Pengerusi Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan.

Rafizi Ramli pula baru satu penggal pegang jawatan Timbalan Presiden PKR setelah memenanginya pada pemilihan tahun 2022.

Pada pemilihan itu beliau menewaskan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Sebelum itu jawatan Timbalan Presiden PKR kosong berikutan langkah Datuk Seri Azmin Ali meninggalkan parti itu pada Februari 2020.

Rafizi yang menguasai keseluruhan undian di semua negeri kecuali Sabah dan Perlis, memperoleh 68,992 undi, mengatasi Saifuddin yang memperoleh 50,038 undi.

Bagi saingan Naib Presiden PKR pula, dimenangi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari, Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Amiruddin yang meperoleh undian tertinggi 52,845 diikuti Lih Kang (41,290 undi), Nik Nazmi (40,506 undi) serta 38,894 undi diperoleh Aminuddin.- 1/2/2025

Read more

khabar terbaru