Pengembara dan pelancong Malaysia-Singapura berharap pergerakan dan pelepasan di sempadan antarabangsa Malaysia akan lebih lancar dan pantas dengan penubuhan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
Mereka percaya AKPS yang baru ditubuhkan Malaysia akan meningkatkan kecekapan dengan ketara terutama di dua pusat pemeriksaan utama di Johor iaitu di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dekat Tambak Johor dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Linkedua.
Dua lagi pusat pemeriksaan di Johor yang diambil alih AKPS bermula 1 Februari ialah Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Pasir Gudang, Johor.
Jurutera awam R Kalesz, 40 tahun, yang berulang alik setiap hari ke Singapura menaiki bas melalui Linkedua, berkata Singapura mempunyai agensi serupa yang menguruskan sempadannya dengan lancar selama bertahun-tahun.
“Saya fikir ini satu langkah yang baik. Ini boleh membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas bagi kenderaan yang melakukan perjalanan antara Johor Bahru dan Singapura.
“Bagaimanapun, saya fikir adalah penting untuk memastikan ketekalan dan kesinambungan apabila inisiatif dilaksanakan di bawah agensi baru AKPS ini,” katanya, lapor The Star.
Kalesz berharap AKPS dapat menghuraikan masalah kesesakan trafik terutama pada hujung minggu dan musim perayaan di dua sempadan utama di Johor itu, termasuk mengambil tindakan terhadap mereka yang memotong barisan yang memburukkan masalah kesesakan lalu lintas.
Juruteknik, Mohd Fauzan Hafizi Rosli, 37 tahun, yang berulang alik bekerja di Singapura dengan motosikal setiap hari melalui Linkedua, berkata pengurusan pintu masuk di sempadan negara akan lebih baik dengan hanya satu agensi yang menyelaras dan menguruskan sempadan bagi mengelak pertindihan tugas.
Penolong pengurus jualan, Tan Sheau Hui, 50 tahun, yang berulang-alik Malaysia-Singapura dengan bas setiap minggu, berkata adalah penting bagi AKPS untuk bekerjasama rapat dengan agensi sama di Singapura bagi menambah baik pengurusan sempadan kededua negara.
“Agensi baru itu harus meningkatkan kecekapan untuk pelepasan imigresen yang cepat.
“Johor mungkin melihat perubahan ketara dalam masa terdekat dengan Laluan Sistem Transit Laju Johor Bahru-Singapura (RTS Link) yang akan siap tidak lama lagi, ditambah dengan aktiviti perdagangan dan perniagaan yang semakin rancak,” katanya.
AKPS akan berfungsi sebagai agensi tunggal di sempadan, menyatukan kepakaran dan sumber daripada pelbagai jabatan kerajaan untuk menyelaraskan operasi di pintu masuk Malaysia, sama ada lapangan terbang, sempadan darat dan pelabuhan.-4/2/2025