Penyelewengan mungkin menjadi salah satu faktor yang menjejaskan produktiviti pengeluaran padi dan beras di negara ini, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, Anwar menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut mengenai isu tersebut.
“Saya tidak mahu nafikan berlaku penyelewengan. Biar badan penguat kuasa siasat. Saya juga teliti kenyataan Menteri Besar (Kedah). Jika ada bukti, maklumkan kepada kami untuk diambil tindakan.
“Tetapi yang nyata adalah produktiviti pengeluaran padi di Kedah, Perlis, Kelantan, dan Terengganu sangat rendah berbanding di Sekinchan,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dr. Mohammed Taufiq Johar (PH-Sungai Petani) yang meminta penjelasan kerajaan berhubung kemungkinan penyelewengan dalam industri padi dan beras yang boleh menjejaskan produktiviti penghasilan makanan ruji itu.
Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa berlaku kegiatan menukar bungkusan beras tempatan kepada beras import, menyebabkan isu ketiadaan bekalan beras tempatan di pasaran berlarutan sehingga kini.
Susulan itu, Sanusi menzahirkan kebimbangan berkenaan masalah ketiadaan bekalan beras tempatan tidak akan selesai selagi kegiatan yang didalangi kartel tidak dibanteras sepenuhnya oleh agensi berkaitan.
Sehubungan itu, beliau menggesa kuasa menguruskan tanaman dan industri padi diberikan kepada kerajaan negeri bagi membolehkan bekalan beras tempatan dipulihkan.
Mengulas mengenai contoh pengurusan padi dan beras di Sekinchan, Perdana Menteri berkata apa yang dilakukan di daerah tersebut boleh diaplikasikan di negeri-negeri lain.
Anwar berkata, antara inisiatif yang boleh dilaksanakan adalah menggembleng pengurusan benih, baja, dan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), digital, dan dron.-4/2/2025