Wednesday - 5, February 2025

Tarif elektik naik Julai 2025… ini kenyataan Suruhanjaya Tenaga

Share

Hu ha mengenai kenaikkan tarif elektrik yang dikuatkuasakan pada Julai tahun ini dibuat dengan mengambil kira semua sudur ekonomi negara kata Suruhanjaya Tenaga.

Dalam kenyataan media lewat petang Selasa, Suruhanjaya Tenaga memaklumkan jadual tarif baharu yang akan dimuktamadkan itu mencerminkan kos pembekalan elektrik sebenar, lebih kompetitif serta memastikan sektor tenaga dapat mengekalkan keseimbangan dari segi keterjaminan, kemampanan dan mampu milik.

Menurut Suruhanjaya Tenaga, sesi libat urus bagi mendapatkan maklum balas dan pandangan pemain industri dan komuniti perniagaan berkaitan kenaikan tersebut akan disegerakan.

“Sesi libat urus ini bertujuan memperincikan lebih lanjut berkenaan proses pemuktamadan jadual tarif yang mengambil kira kepentingan serta respons daripada semua pihak termasuk pemain industri dan komuniti perniagaan.

“Sesi ini juga diadakan bagi memberi peluang kepada pemain industri dan komuniti perniagaan untuk berkongsi serta mengetengahkan sebarang pandangan dan pendapat berkenaan jadual tarif elektrik yang bakal dimuktamadkan dan diumumkan oleh kerajaan kelak,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan tarif elektrik yang berkuat kuasa Julai ini.

Beliau berkata ia tidak akan memberi kesan kepada 85 peratus isi rumah dan hanya melibatkan sektor industri dan golongan maha kaya mengikut kaedah Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT).

Tarif asas elektrik di Malaysia ditetapkan oleh ST di bawah kerangka Kawalselia Berasaskan Insentif (IBR) dan disemak setiap tiga tahun.

Selain tarif asas, terdapat mekanisme ICPT yang disemak setiap enam bulan bagi melaraskan kadar elektrik berdasarkan perubahan sebenar dalam kos bahan api.

Semakan tarif seterusnya akan dilakukan pada Julai 2025.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya pengusaha inap desa dan kampungstay diberikan pengecualian daripada kenaikan tarif elektrik.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, ia susulan perkembangan pesat sektor inap desa dan kampungstay yang berjaya menarik minat hampir 830,000 pelancong domestik dan antarabangsa dengan janaan pendapatan sekitar RM54 juta tahun lepas.

“Saya akan minta pengecualian kenaikan kadar tarif elektrik kepada pengusaha inap desa kerana mereka adalah golongan 85 peratus rakyat tidak terkesan. Kenaikan ini hanya melibatkan sektor perindustrian,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, berdasarkan prestasi sektor berkenaan pada tahun lepas, kerajaan menyasarkan sejumlah 1.6 juta pelancong dengan janaan pendapatan sekitar RM100 juta bagi tahun ini.

“Tahun ini kita akan fokuskan kepada program pertukaran pelajar antarabangsa khususnya negara-negara ASEAN dan membawa mereka menginap di inap desa dan kampungstay.

“Kita sedar terdapat kekangan yang dihadapi oleh pengusaha sektor ini termasuk infrastruktur dan fasiliti mereka…oleh itu jawatankuasa ini akan mencari jalan untuk membantu mereka termasuk meneruskan pemberian kursus yang sesuai bagi usahawan dan pengusaha sektor ini,” katanya.-5/2/2025 OLEH AHMAD SAUQI ABDUL RAZAK

Read more

khabar terbaru