FOKUS

Malaysia bantah cadangan ‘kerja gila’ Presiden Trump nak pindahkan rakyat Palestin di Gaza secara paksa

Kecuali puak zionis dan sekutunya…majoriti masyarakat dunia anggap cadangan Amerika-Israel nak ambilalih Gaza dan memindahkan rakyat Palestin ke negara jiran satu ‘kerja gila’

Bayangkan orang Palestin sebagai penduduk asal terpaksa angkat kaki dan serah negara pada musuh mereka.

Ia bukan saja tidak pernah terfikir oleh mereka yang waras fikiran malah ia bercanggah dengan semua konvensyen dan perjanjian antarabangsa.

Malaysia turut serta dengan suara masyarakat antarabangsa menolak cadangan yang disuarakan oleh Presiden Amerika Donald Trump setelah adakan pertemuan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Washington.

Dalam satu kenyataan pada Khamis Kementerian Luar itu yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra menggesa penyelesaian kekal yang menghormati hak serta kedaulatan rakyat Palestin

Malaysia menyifatkan pemindahan paksa itu sebagai satu bentuk pembersihan etnik yang melanggar undang-undang antarabangsa dan pelbagai resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut kenyataan itu sebarang penyelesaian yang menafikan hak rakyat negara itu untuk menentukan masa depan sendiri jelas tidak boleh diterima.

Malah penyelesaian sebelah pihak itu hanya akan memburukkan konflik yang sudah berlarutan sekian lama.

“Malaysia kekal teguh dalam solidaritinya bersama rakyat Palestin. Satu-satunya jalan penyelesaian yang adil dan berkekalan bagi mencapai keamanan dan kestabilan di Asia Barat adalah melalui penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” katanya.

Penyelesaian dua negara yang disokong masyarakat antarabangsa menjadi asas kestabilan jangka panjang di wilayah itu.

Malaysia turut menggesa menggesa mana-mana negara yang masih belum mengiktiraf negara Palestin agar segera berbuat demikian serta menyokong keanggotaan penuhnya dalam PBB.

Seruan itu selari dengan Resolusi Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam 2024 yang diterima pakai pada 11 November 2024 yang menekankan keperluan penyelesaian dua negara sebagai asas kepada keamanan di rantau itu.

Kenyataan berkenaan turut menyatakan sokongannya terhadap usaha diplomatik yang diambil dalam kerjasama antarabangsa termasuk yang sedang digerakkan Global Alliance dan Kumpulan The Hague dalam memastikan keamanan berkekalan bagi rakyat Palestin.

Katanya, ia menjamin keselamatan rakyat Palestin serta kestabilan Asia Barat secara keseluruhan.

Sementara itu menjawab soalan berkaitan di sidang Dewan Rakyat Menteri Luar Datuk Mohamad Hasan mengecam rancangan Presiden Donald Trump untuk memindahkan rakyat Palestin dari Gaza sebagai “di luar pemikiran waras”.

Menjawab soalan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) beliau menegaskan bahawa rakyat Palestin mempunyai hak untuk sebuah negara merdeka mereka sendiri.

“Cara mana itu terpulanglah. Kalau cara untuk penyelesaian dua negara yang terbaik untuk masa kini, boleh teruskan kerana kita tak ada cara lain lagi (buat masa ini),” katanya.

Penyelesaian dua negara bermula sejak Perjanjian Oslo 1993, apabila Israel dan Pertubuhan Pembebasan Palestin bersetuju dengan kewujudan bersama Israel dan Palestin.-6/2/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button