SUARA PEMBACA

Kenyataan bersama mengenai pelaksanaan garis panduan bagi majlis melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam

  1. Hari ini, Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri telah
    membincangkan perkara berhubung cadangan pelaksanaan garis panduan bagi
    majlis melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam oleh YB Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
  2. Mesyuarat telah meneliti mengenai kekeliruan berkaitan cadangan tersebut.
    Perkara ini berbangkit susulan beberapa pertanyaan daripada umat Islam tentang jemputan ke majlis anjuran masyarakat bukan Islam yang mungkin melibatkan unsur-unsur keagamaan. Bagi memberi panduan kepada umat Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengambil inisiatif membangunkan garis panduan tersebut.
  3. Mengambil kira bahawa perkara ini telah menimbulkan kekeliruan di kalangan
    rakyat Malaysia yang berbilang kaum, bangsa dan agama, Jemaah Menteri telah
    bersetuju bahawa JAKIM boleh memberikan nasihat kepada orang Islam
    berkaitan keperluan menjaga akidah umat Islam berhubung perkara ini,
    namun nasihat tersebut tidak bersifat dasar. Jemaah Menteri juga
    mengingatkan bahawa setiap dasar yang dirangka perlu mengambil kira aspek
    perpaduan nasional serta mendapatkan kelulusan Kabinet terlebih dahulu.
  4. Pada masa yang sama, Kementerian Perpaduan Negara akan terus
    menyemarakkan pelaksanaan Dialog Harmoni bagi memperkukuhkan
    keharmonian dan menggalakkan interaksi antara penganut pelbagai agama di
    negara ini.
  5. Perbincangan yang inklusif dengan mengambil kira sensitiviti semua pihak adalah amat penting dalam membina kesepaduan nasional. Justeru, segala perkara berkait rapat dengan keharmonian antara penganut agama akan dibincangkan secara lanjut dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK HARMONI) yang dipengerusikan bersama. Untuk makluman, Mesyuarat JK HARMONI Bil 1/2025 turut dijadualkan pada bulan ini akan mendengar segala pandangan ahli – ahli yang terdiri 24 wakil penganut agama (Islam, Buddha, Hindu, Kristian, Sikh, Tao, Baha’i).
  6. Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian telah lama
    menjadi contoh perpaduan dan keharmonian kepada dunia. Kerajaan MADANI
    menyedari bahawa kestabilan negara bergantung kepada kesejahteraan rakyat
    yang hidup dalam suasana yang aman dan harmoni.

DATO’ SETIA DR. HAJI MOHD NA’IM
BIN HAJI MOKHTAR
MENTERI DI JABATAN PERDANA
MENTERI (HAL EHWAL AGAMA)

DATUK AARON AGO DAGANG
MENTERI PERPADUAN NEGARA

7/2/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button