Friday - 14, March 2025

Garis panduan mengenai penyertaan orang Islam dalam sambutan perayaan agama lain…ini pendirian Pemuda UMNO

Share

Polimek isu garis panduan mengenai penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan agama lain makin hangat.

Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh pada Sabtu tampil menyuarakan pandangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Menerusi hantaran di laman facebooknya beliau menegaskan garis panduan mengenai hal itu perlu untuk dijadikan sumber rujukan.

Beliau memberi contoh tentang panduan peraturan jalan raya,

“Sama juga garis panduan peraturan jalan raya, ramai yang ada lesen sendiri pun masih tidak tahu undang-undang sedia ada, malah ada lagi yang memandu secara mabuk.

Menurut Dr Akmal tidak semua orang tahu dan ada ilmu seperti yang kita tahu dan faham.

“Jadi garis panduan ini adalah sumber rujukan, bukan maksud tidak tahu tetapi kadang-kadang kita terlupa dan garis panduan ini sebagai peringatan.

“Apa lagi garis panduan untuk orang Islam yang mana terpakai untuk orang Islam sahaja, yang bukan Islam tak perlu terlibat pun dan tidak perlu campur! Simple as that,” katanya.

Pada masa sama, Dr Akmal turut mengingatkan golongan bukan Islam supaya tidak terlibat dan tidak masuk campur membicarakan tentang isu tersebut.

Semalam ketika ditemui wartawan semasa lawatannya ke kuil Hindu di Batu Caves, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kabinet telah memutuskan bahawa garis panduan yang dicadangkan tidak perlu.

Katanya garis panduan itu tidak perlu kerana umat Islam tahu garis mereka.

“Macam saya datang hari ini (ke acara di Batu Caves), saya bukan masuk ke upacara agama. Gobind (merujuk pada Menteri Digital, Gobind Singh Deo yang turut serta dalam acara itu) sering melawat masjid di kawasan dia, tapi dia tidak ke upcara agama,” katanya.

Anwar berkata, perkara itu akan dipersembahkan kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah selaku Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

Perdana Menteri menjelaskan Malaysia sebagai sebuah negara yang agama rasminya Islam, kepentingan kaum dan agama lain di negara ini juga harus dijaga bagi memelihara keamanan.

Pada Rabu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Na’im Mokhtar mengumumkan bahawa kerajaan akan memperkenalkan garis panduan baru untuk acara yang melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam.

Garis panduan itu termasuk perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa agama jika acara itu melibatkan orang Islam, dan acara itu mestilah tidak mengandungi unsur-unsur yang boleh menyinggung sensitiviti umat Islam.

Pengumuman itu mencetuskan kontroversi dengan satu pihak menyifatkannya sebagai dasar yang mengundang perpecahan, manakala satu pihak lagi menggesa orang bukan Islam supaya tidak mempolemikkan isu berkenaan.- 8/2/2025

Read more

khabar terbaru