Ada yang belum beres tentang Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Sebab itu kebelakangan ini tidak menghairankan jika ada pihak yang terus menerus teropong gerak langkah politiknya.
Sekalipun situasinya agak sudah sejuk sikit sekarang namun isu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri nak keluar UMNO agak mengegarkan senario politik megara pada pertengahan Disember lalu.
Isu ini lebih mencuri perhatian ramai kerana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR secara terbuka mengesahkan wujudnya perbincangan awal berhubung penyertaan Tengku Zafrul ke dalam parti itu.
Spekulasi yang rancak berlegar waktu itu ialah beliau dikatakan akan dilantik jadi Menteri Besar Selangor ganti Datuk Seri Amiruddin Shaari.
Bekas CEO Cimb Bank ini yang kini berjawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja di Selangor sebelum ini membuktikan beliau bukan jenis main gertak dalam soal jawatan parti.
Tengku Zafrul telah letak jawatan sebagai Bendahari UMNO Selangor pada 1 April 2024 kerana tidak puashati dengan prestasi UMNO negeri itu.
Kalangan pemerhati politik menilai selepas episod kehangatan isu mengenai dirinya pertengahan Disember lalu soal Tengku Zafrul meninggalkan UMNO bukan lagi boleh dikira satu spekulasi.
Ikut tafsiran mereka andaian yang dapat dibuat sekarang cuma tunggu waktu saja beliau akan buat pengumuman rasmi mengenai hal itu.
Orang yang faham tentang politik cukup sedia maklum khabar hendak keluar parti adalah suatu perkara yang cukup sensitif apa lagi pada kedudukan setinggi Tengku Zafrul.
Ia mengambarkan hati dan perasaan seseorang yang berjawatan penting itu sudah tidak lagi dengan partinya.
Selain itu ia memberi kesan keatas imej dan kredibiliti parti.
Bayangkan dimana Tengku Zafrul hendak letak dirinya dalam persekitaran UMNO apabila sudah berlegar kisah beliau hendak keluar parti itu.
Pada Ahad beliau sekali lagi terpaksa berdepan dengan wartawan yang ingin korek cerita pasal langkah politiknya.
Ditemui selepas menghadiri program amal Golf KITA 2025 di Shah Alam Tengku Zafrul berkata sebarang keputusan yang bakal beliau ambil mengenai keahliannya dengan mana-mana parti akan dibincangkan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terlebih dahulu.
Beliau berkata pengumuman rasmi mengenai perkara itu akan dibuat hanya selepas beliau berbincang dengan Ahmad Zahid.
“Saya kena sampaikan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid terlebih dahulu,” katanya.
Sementara itu Tengku Zafrul berkata beliau sedia maklum dengan laporan media mengenai cadangan pihak tertentu supaya beliau dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat selepas penggalnya sebagai senator berakhir Disember depan.
“Bagi saya apa-apa pun jawatan yang diberi sekarang atau pada masa hadapan, itu terpulang kepada Perdana Menteri,” katanya dan menambah fokus beliau kini adalah meneruskan tugas penting di kementerian, termasuk memainkan peranan dalam menjayakan komitmen Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun ini.-9/2/2025 0 – OLEH HIEKAL ROSLI