Para peniaga di bazar Ramadan tahun ini boleh menarik nafas lega selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak memberikan lesen berniaga kepada ejen atau wakil-wakil mereka sebaliknya diserahkan terus kepada peniaga.
Ini bagi mengelakkan ada pihak yang bertindak ‘ali baba’ bagi meraih komisyen besar.
“Ini pasal Ramadan, yang saban tahun kita tahu ada ejennya, ada komisyen besarnya. Jadi apa masalahnya untuk memberikan lesen perniagaan kepada orang yang berniaga? Dia tak melalui wakil-wakil.
“Kalau ada persatuan yang ambil berpuluh ringgit untuk pengawasan, kebersihan, itu saya faham. Tetapi dijual semula, maknanya, penjawat awam terlibat itu tahu benar dan menyokong,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pada Isnin.
Jelasnya, isu itu sudah berlaku selama bertahun-tahun dan bukan sahaja di ibu negara.
“Bukan saja di Kuala Lumpur, di hampir semua kota di negara kita. Jadi saya harap dengan pelaksanaan tegas di Kuala Lumpur, dia menjadi satu contoh. Contoh pelaksanaan yang baik.
“Bayangkan orang nak berniaga bulan Ramadan untuk mendapat hasil dan upah yang lebih tinggi untuk persiapan Aidilfitri untuk keluarga. Itu masih ada toko-toko, selain daripada kadar yang ditetapkan,” ujarnya.
Anwar turut mengucapkan terima kasih kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana mengambil sikap tegas mengenai perkara itu.
“Tapi kena pastikan siapa yang dapat lesen, dia kerja. Kalau dia pindahkan lesen itu, batal segera.
“Dan ini memerlukan keputusan dan penguatkuasaan yang baik. Saya syukur Alhamdulillah kerana kesedaran ini ada, maknanya kita mampu laksanakan,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata amalan di bulan Ramadan memberikan satu penegasan tentang disiplin, kekuatan rohani, keyakinan dan sifat yang lebih sederhana.
“Dalam negara MADANI ini, amalan Ramadan itu ada kaitan kerana ia memberi satu aspek kerohanian dan penetapan nilai.
“Ramadan itu memberikan satu penegasan tentang disiplin, tentang kekuatan rohani dan keyakinan dan juga sifat yang lebih sederhana, yang lebih prihatin kepada nasib masyarakat yang tersisih dan terbiar.
“Jadi selalunya ulama menggesa kita mempersiapkan dengan sekurang-kurangnya pemahaman, bacaan yang lebih luas,” katanya.
Tambah beliau, mesej ini turut terkandung dalam kitab Ihya Ulumuddin yang dianggap salah satu karya teragung Imam Ghazali tentang puasa.
“Satu signifikan kerohanian, kalau tidak dia jadi satu ritual lapar dan dahaga, tetapi tidak ada mesej dari segi pembaikan karakter, akhlak, pepumukan nilai dan keprihatinan terhadap nasib rakyat dan bangsa,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zaliha Mustafa dan Datuk Mohd Naim Mokhtar.-10/2/2025 OLEH AHMAD SAUQI ABDUL RAZAK