11 Februari 2025 boleh dicatat sebagai satu tarikh penting bagi negara berikutan bermulanya penguatkuasaan pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau Akta 588.
Ia adalah usaha kerajaan memperkukuh keselamatan dalam talian dan menyediakan ruang digital yang lebih selamat untuk seluruh rakyat Malaysia.
Ini dikira satu langkah amat besar dalam landskap era internet di negara ini setelah pada mulanya diwarnai oleh persepsi rasa sangsi dan curiga kononnya kerajaan hendak guna pindaan akta ini untuk mengawal kebebasan bersuara.
Di celah segala macam faedah besar diperolehi menerusi ekosistem rangkaian internet…mahu tidak mahu semua orang perlu akui hakikat jelas terbentang beberapa sisi gelap yang perlu segera dibendung menerusi akta dan perundangan.
Contohnya jumlah kes jenayah dalam talian pada 2024 yang mencecah 35,368 kes dengan nilai kerugian lebih RM1.5 bilion membuktikan bahawa pindaan tersebut adalah tepat pada masanya.
Persidangan Dewan Rakyat pada 9 Disember 2024 meluluskan Rang Undang-Undang Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024.
Ia diluluskan melalui undi belah bahagian dengan 59 Ahli Parlimen bersetuju manakala 40 Ahli Parlimen tidak menyokong, seorang tidak mengambil bahagian serta 122 tidak hadir.
Pindaan itu diwartakan Jumaat lalu untuk membolehkan ia berkuatkuasa mulai 11 Februari.
Apapun penguatkuasaannya bukan terhenti setakat pengumuman.
Kementerian Komunikasi menerusi agensi berkaitan khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan laksana pelbagai langkah dan kempen agar ia meresap dengan berkesan dikalangan rakyat.
Satu kenyataan kementerian itu pada Selasa memberitahu dalam usaha ini ia telah memulakan Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian, yang digerakkan melalui MCMC.
Menurutnya kempen tersebut akan dilaksanakan di lebih 10,000 sekolah dan semua universiti awam seluruh negara.
Ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat pelbagai lapisan usia serta latar belakang berkenaan pentingnya keselamatan Internet.
Kempen Keselamatan Dalam Talian akan diperluas dalam kalangan komuniti bagi memperkasakan pengetahuan orang ramai tentang keselamatan dalam talian.
Antara fokus utama kempen kanak-kanak di bawah usia 13 tahun tidak dibenarkan untuk memiliki akaun media sosial.
Penggunaan Internet perlu di bawah pengawasan ibu bapa atau penjaga.
Meningkatkan kesedaran agar dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian (scam), judi dalam talian, buli siber, dan kes jenayah pedofilia.
Menggalakkan penggunaan Internet secara selamat dan beretika.
“Kerajaan berharap agar seluruh rakyat Malaysia dapat memberikan sokongan penuh terhadap usaha-usaha yang dilaksanakan dan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk melindungi diri serta keluarga daripada sebarang ancaman dalam talian,” katanya.- 11/2/2025 – OLEH HIEKAL ROSLI