Pasaran kerja di Malaysia terus memaparkan corak pemulihan yang memberangsangkan apabila Disember 2024 – kadar pengangguran di negara terus menurun dengan mencapai 3.1 peratus, menjadi paras terendah sejak sembilan tahun lalu.
Atau dalam kata lain, berdasarkan rekod dan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) terdapat seramai 544,000 penganggur, ketika ini.
Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata ekonomi Malaysia menunjukkan daya tahan dan pertumbuhan yang kukuh menjelang penghujung 2024.
“Oleh itu, pasaran buruh juga menunjukkan prestasi yang baik, dengan kadar pengangguran terus menurun pada bulan Disember 2024.
“Guna tenaga mencatatkan perkembangan yang stabil, dan bilangan penganggur terus berkurang. Oleh itu, bilangan tenaga buruh pada bulan Disember 2024 kekal berada pada trend menaik dengan peningkatan sebanyak 0.1 peratus kepada 17.32 juta orang, merekodkan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) yang lebih tinggi iaitu 70.6 peratus berbanding 70.5 peratus pada bulan yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Data di bawah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) ini menjelaskan prestasi itu didorong hasil pertumbuhan ekonomi negara yang lebih kukuh diikuti kadar penyertaan tenaga kerja yang lebih rancak pada pasaran ekonomi semasa.
Sebagai perincian ketika ini terdapat 12.56 individu berstatus pekerja di Malaysia, diikuti 3.12 juta pula lebih selesa bekerja sendiri dan terlibat dalam segmen ekonomi gig, sementara 497,200 individu pula bekerja dengan keluarga sendiri dan 603,200 majikan terdapat di pasaran ekonomi Malaysia.
Kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun turun sebanyak 0.1 mata peratus kepada 10.3 peratus, merekodkan 299,700 penganggur belia pada bulan Disember 2024.
Begitu juga, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun turun 0.1 mata peratus kepada 6.1 peratus, dengan 410,800 penganggur belia berbanding bulan sebelumnya.
Sementara itu, Selangor dan Kedah merekodkan kadar pengangguran terendah iaitu pada 1.7 peratus pada suku tahun keempat 2024, diikuti oleh Melaka (1.8 peratus), Johor dan Pulau Pinang (2.2 peratus).

Sebanyak sembilan negeri mencatatkan peningkatan dalam KPTB, menunjukkan lebih banyak penyertaan buruh dalam pasaran.
Selangor merekodkan KPTB yang tertinggi iaitu pada 76.4 peratus, diikuti oleh Kuala Lumpur (74.9 peratus) dan Pulau Pinang (73.2 peratus).
Mengulas prestasi keseluruhan 2024, Mohd Uzir menyatakan bahawa berdasarkan data purata bulanan, KPTB pada 2024 meningkat sebanyak 0.4 mata peratus kepada 70.4 peratus berbanding 70.0 peratus pada tahun 2023.
Sementara itu, katanya kadar pengangguran turun 0.1 mata peratus kepada 3.3 peratus pada 2024, berbanding 3.4 peratus yang direkodkan pada tahun sebelumnya.
“Ekonomi Malaysia dilihat kekal pada trajektori pertumbuhan positif pada 2024, didorong oleh prestasi ekonomi yang kukuh meskipun berdepan dengan ketidaktentuan luaran yang berterusan,” katanya.-12/2/2025 OLEH AHMAD SAUQI ABDUL RAZAK