Kerajaan akan meneliti semula Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) susulan kes melibatkan tahanan SOSMA baru-baru ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan secara dasarnya telah bersetuju mengenai beberapa perkara termasuk aspek penambahbaikan.
Jelasnya lagi, perincian berhubung perkara itu juga bakal diperincikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Parlimen minggu depan.
“Dalam mesyuarat Jemaah Menteri juga, Perdana Menteri meminta Akta SOSMA diteliti dan disemak jadi insya-Allah Menteri KDN akan tampil ke Parlimen untuk beri kenyataan.
“Secara prinsipnya ada beberapa perkara yang telah dibincangkan dan telah dipersetujui dengan menambahbaik atau pun menyemak semula akta SOSMA,” katanya ketika sidang media pasca mesyuarat kabinet hari ini.
Sebelum ini, wujud dakwaan berhubung tahanan SOSMA dipukul di Penjara Sungai Buloh.
Bagaimanapun, pemeriksaan dan hasil siasatan pihak Jabatan Penjara juga mengesahkan tidak berlaku sebarang kejadian seperti yang didakwa.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam pada itu memberi jaminan bahawa pihaknya tidak akan menyembunyikan sebarang perkara, selain memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan.
Pada 12 Feb, lima bekas Ahli Parlimen Pakatan Harapan menggesa kerajaan memansuhkan Sosma, sambil menyatakan tiba masa bagi Kementerian Dalam Negeri bertanggungjawab ke atas layanan tahanan bawah Sosma.
Ong Kian Ming, Khalid Samad, Kasthuri Patto, Noor Amin Ahmad, dan Maria Chin Abdullah, berkata kerajaan harus menilai sama ada undang-undang itu perlu, sambil menambah terdapat terlalu banyak laporan dan bantahan daripada tahanan berhubung layanan buruk dan kelewatan berpanjangan bagi pendengaran mahkamah mereka.
Pada 9 Februari lalu, media melaporkan polis telah membuka kertas siasatan berhubung perhimpunan dan mogok lapar yang diadakan beberapa individu dipercayai ahli keluarga tahanan di bawah SOSMA di hadapan Penjara Sungai Buloh.
Sosma berkuat kuasa pada 2012 di bawah pentadbiran Najib Razak menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan.
Di bawah Sosma, pegawai polis boleh menangkap dan menahan individu yang dipercayai terlibat dalam kesalahan keselamatan tanpa waran.
Pada Isnin, kumpulan hak asasi manusia Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mendesak Anwar campur tangan selepas Kementerian Dalam Negeri enggan menerima memorandum daripada ahli keluarga tahanan Sosma berkait tuntutan jawapan mengenai kesejahteraan tahanan.
Ahli keluarga berkenaan melakukan mogok lapar di pekarangan Penjara Sungai Buloh minggu lalu, bertindak berkumpul di bangunan kementerian itu bagi menuntut perbincangan dengan pegawai dan penyerahan memorandum.-14/2/2025 OLEH AHMAD SAUQI ABDUL RAZAK