Monday - 21, April 2025

Kilang haram kitar semula peluru diserbu pihak berkuasa…

Share

Serbuan terhadap sebuah kilang memproses bahan sisa elektronik (e-waste) yang beroperasi secara haram dekat Telok Panglima Garang pada Sabtu, menemukan kira-kira 50 tan anak peluru, kelongsong serta peluru hidup yang disyaki diseludup masuk ke negara ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi, berkata premis di Teluk Panglima Garang itu antara satu daripada lima premis memproses e-waste yang diserbu di Selangor.

“Serbuan hasil daripada maklumat hasil risikan yang mendapati kilang yang sudah beroperasi lebih kurang dua tahun ini melupuskan e-waste secara haram.

“Apa yang paling menarik adalah kita menemui sejumlah anak peluru, kelongsong peluru dan peluru hidup yang cuba dilupuskan dalam kilang ini yang kita percayai bukan daripada Malaysia. Ini kes kali pertama kita temui dan kita sedang siasat asalnya daripada mana.

“Kita menemui 50 beg berisi bahan berkenaan yang mana setiap beg seberat satu tan (1,000kg) dengan berat keseluruhan dianggarkan 50 tan,” katanya.

Yang turut hadir, Ketua Penolong Pengarah PGA Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Shaiful Azmi @ Hussein Omar; Komander Briged Tengah, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari dan dan Pengarah Bahagian Bahan Berbahaya JAS, Azlan Ahmad.

Mengulas lanjut, Mohamad Suzrin berkata siasatan awal mendapati anak peluru serta kelongsong akan diproses dengan kaedah dibakar sebelum diasingkan menjadi jongkong timah serta tembaga.

Katanya, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut sama ada jongkong timah dan tembaga terbabit mungkin akan diproses kembali atau dihantar kepada pihak ketiga.

Selain itu, katanya semakan juga mendapati premis kilang itu dipercayai beroperasi tidak berlesen dan menggajikan pekerja asing sebagai pekerja.

“Dalam serbuan itu, kita turut memeriksa 70 pekerja dan semakan sedang dijalankan sama ada mereka mempunyai dokumen atau sebaliknya, dengan lima pekerja ditahan kerana tiada dokumen perjalanan sah,” katanya.

Sementara itu, Azlan berkata, pihaknya mendapati kilang terbabit tidak mempunyai lesen melerai dan melebur barang e-waste serta peluru.

“Kita kesan ada aktiviti meleburkan peluru, selain premis membuat pembakaran terbuka serta kemungkinan pelepasan gas berbahaya.

“Peluru disenaraikan dalam senarai bahan letupan dan ini pertama kali dikesan. Pelupusan peluru perlu dilakukan di premis yang dilesenkan JAS. Kita memandang serius perkara ini,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan mendapati premis kilang turut dipenuhi ratusan timbunan guni barangan e-waste, relung pembakaran selain premis dilengkapi kediaman pekerja yang menggunakan kontena selain beberapa dapur tempat peleburan.

Selain itu, pelbagai timbunan bertan guni berisi pelbagai sisa e-waste juga dipercayai dalam tindakan untuk dilerai oleh pekerja asing.-16/2/2025

Read more

khabar terbaru