Isu dakwaan skandal rasuah projek perlombongan mineral yang melibatkan sebilangan Ahli Dewan Undangan Negeri dalam blok kerajaan negeri Sabah masih berliku.
Bunyinya memang bergegar sehingga ada yang menduga kerajaan negeri Sabah Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor boleh tumbang.
Ini ekoran berlegarnya pendedahan sensasi menerusi sebuah portal berita rakaman perbualan sebilangan ADUN yang didakwa terlibat dalam skandal itu.
Kini setelah sekian lama melalui pelbagai polimek dan kontroversi politik…siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum temui sebarang bukti yang konkrit.
Ketua Persuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki pada Ahad beritahu video mengenai dakwaan rasuah itu telah kita kemukakan kepada bahagian forensik SPRM.
“Laporannya baru-baru ini menunjukkan lapan video ( yang disiarkan) di dalam portal (berita) itu adalah video yang tidak boleh diguna pakai kerana berlaku editing serta ia juga tidak boleh digunakan dalam penyiasatan dan juga mahkamah kerana tidak ada kredibiliti,” katanya.
Beliau memberitahu SPRM baru sahaja selesai merakam keterangan lima saksi termasuk seorang ahli politik dari Sabah berhubung siasatan dakwaan skandal rasuah melibatkan ADUN di negeri itu.
Katanya, siasatan dakwaan skandal rasuah itu dibuat berdasarkan video dikeluarkan sebuah portal serta di media sosial.
Menurutnya, sehingga ke hari ini pemberi maklumat yang mendedahkan video itu masih belum berkongsi sebarang bukti dengan SPRM.
Azam berkata SPRM tidak bercadang memanggil portal yang menyiarkan video terbabit untuk mengetahui bagaimana ia diperoleh kerana menghormati kebebasan portal itu untuk membuat laporan.
Pada 5 Februari lalu, peguam kepada pemberi maklumat itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mendedahkan anak guamnya mempunyai banyak lagi rakaman video dalam simpanannya serta tangkap layar mesej WhatsApp.
Sebelum ini, bekas Ketua pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, video-video yang disiarkan oleh portal berita berkenaan menunjukkan “bukti jelas” berlaku rasuah dan memenuhi definisi “suapan” di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Pengerusi UMNO Sabah, Bung Moktar Radin pula telah memberi amaran keras kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), supaya tidak mengaitkan UMNO negeri dengan skandal rasuah yang didakwa berlaku.
Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Suhaimi Nasir menafikan parti itu menjadi dalang di sebalik penyebaran dakwaan rasuah perlombongan mineral dikaitkan beberapa ADUN kerajaan oleh individu mendakwa dirinya pemberi maklumat.- 16/2/2025