Sunday - 13, July 2025

MCMC keluar surat pelaksanaan rangkaian 5G untuk U Mobile tidak lama lagi

Share

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang dalam proses meneliti beberapa perkara akhir sebelum mengeluarkan surat bagi membolehkan U Mobile Sdn Bhd melaksanakan rangkaian 5G kedua negara.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata surat tersebut akan dikeluarkan dalam tempoh “seminggu dua ini,”.

Menurut beliau Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Industri Keempat Negara (MED41R) yang dipengerusikan Perdana Menteri pada 12 Feb lepas telah dimaklumkan berhubung status pelaksanaan pengendali rangkaian 5G pertama, Digital Nasional Berhad (DNB).

“Mereka telah menyerahkan rancangan pelaksanaan perniagaan terperinci kepada pihak MCMC dan sedang diteliti manakala bagi pihak U Mobile, rancangan pelaksanaan itu telah diberikan lebih awal, dan saya difahamkan pihak U Mobile juga telah membuat beberapa pengumuman tentang tarikh permulaan pelaksanaan rangkaian 5G,” katanya.

Fahmi ditemui selepas merasmikan pembukaan OCBC Premier Private Client Centre di Bangsar pada Selasa.

Sementara itu, mengulas mengenai projekJalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2, Fahmi berkata perunding pengurusan projek telah dilantik bagi memastikan pelaksanaannya dijalankan dengan lebih baik.

Beliau berkata pihaknya mengambil maklum dan iktibar daripada beberapa perkara semasa pelaksanaan JENDELA fasa pertama untuk ditambah baik dalam pelaksanaan fasa kedua.

“Kita mungkin tidak bergantung harap kepada infrastruktur seperti menara-menara telekomunikasi seperti dalam fasa satu. Bagi fasa dua kita mungkin akan teliti penyelesaian yang fit for purpose. Mungkin satu-satu kawasan itu jumlah penduduknya memerlukan penyelesaian yang berbeza.

“Mungkin bentuk muka buminya yang mencabar, dan mungkin ada setengah perkara kita akan beri kelonggaran kepada syarikat-syarikat untuk laksanakan,” katanya.

Sebelum ini Fahmi dilaporkan berkata terdapat keperluan untuk merombak keseluruhan proses pelaksanaan Fasa 2 JENDELA bagi memastikan keberkesanan program berkenaan.

“Kita dapati dalam JENDELA fasa satu ada beberapa perkara mereka terlalu longgar, ada beberapa perkara mereka terlalu rigid. Saya rasa ada beberapa perkara yang boleh diperbaiki, yang tidak dilaksanakan dengan betul dalam jendela fasa satu,” katanya.-19/2/2025 OLEH AHMAD SAUQI ABDUL RAZAK

Read more

khabar terbaru