Monday - 21, April 2025

Ekoran kanak-kanak tercekik makan gula-gula ‘Gummy’….KKM kata ia dilarang dijual di negara ini

Share

Malang tidak berbau…apapun kematian Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, 10 di Pulau Pinang gara gara tercekik makan gula gula kenyal berbentuk mata harus jadi pengajaran agar semua orang sentiasa berwaspada.

Seperti biasa bila terjadi hal buruk seperti ini barulah semua pihak nak buka mata.

Kementerian Kesihatan (KKM) lantas keluarkan satu kenyataan pada Jumaat memberitahu gula-gula kenyal atau ‘gummy’ berbentuk mata dilarang dijual di negara ini.

Menurutnya produk itu menyalahi keperluan pelabelan yang diperuntukkan di bawah Peraturan-peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983 (Akta 281).

“KKM menegaskan produk ini dilarang penjualannya di semua platform atas talian dan pasaran domestik serta tindakan penguatkuasaan termasuk rampasan produk ini akan dibuat berdasarkan peraturan itu,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang dilaporkan merampas ‘Gummy Original Basketball Soft Candy’s’ yang dijual di sebuah gerai di Jalan Sungai Dua selepas kematian seorang kanak-kanak 10 tahun akibat tercekik gula-gula tersebut.

Dalam pada itu, kenyataan itu menyebut melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM), saiz atau bentuk sesuatu makanan tidak dikawal di bawah Peraturan-Peraturan Makanan (PPM)1985, Akta Makanan 1983.

“Kecuali bagi ‘konfeksi jeli terkawal’ dengan saiz dan bentuk berdiameter kurang atau sama dengan 45 milimeter hendaklah dilabel dengan ‘AMARAN: BOLEH MENYEBABKAN RISIKO TERCEKIK’ dan perkataan ‘TIDAK SESUAI BAGI KANAK-KANAK DI BAWAH UMUR 3 TAHUN’,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, KKM meminta orang ramai terutama ibu bapa agar memantau dan menasihati anak-anak agar lebih berhati-hati dalam pemilihan makanan terutama yang berisiko tercekik.

“Bahaya tercekik adalah satu risiko yang signifikan terutama dalam kalangan bayi dan kanak-kanak.

“Risiko meningkat apabila makanan tidak dikunyah dengan sempurna atau ditelan secara keseluruhan. Insiden tercekik lebih kerap berlaku dengan makanan keras, kenyal, kecil dan berbentuk bulat yang mudah tersekat pada saluran pernafasan,” kata KKM.

Mohamad Fahmi Hafiz menghembuskan nafas yang terakhirnya kira-kira jam 11 Khamis malam.

Sebelum itu, Allahyarham dilaporkan rebah ketika mahu ke tandas selepas mengadu tersedak.- 21/2/2025

Read more

khabar terbaru