Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal boleh dikira adalah salah satu nama besar dalam struktur parti BERSATU.
Ini dilihat dalam kontek beliau sering terlibat dalam kontroversi politik serta riuh rendah dalam sidang Dewan Rakyat.
Pada Julai tahun lalu Ahli Parlimen Perikatan Nasional kawasan Machang,Kelantan ini digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan.
Ini susulan dakwaannya mengenai surat layang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Tengok sudah betapa meluasnya tersebar berita beliau tewas dalam pemilihan jawatan Ketua Bahagian BERSATU kawasan Machang pada Sabtu.
Ia bukan sahaja disiar dalam media utama tetapi juga portal berita serta pelbagai media sosial.
Ada juga posting di media sosial yang bernada menyindir dan perlekehnya.
Kisah beliau hanya dapat 26 undi ditewaskan oleh Kamaruddin Ab Kadir atau dikenali sebagai Cik Gu Din yang mendapat 103 undi sudah tentu jadi kejutan.
Pemilihan BERSATU kawasan Machang diadakan bagi kepimpinan penggal 2024-2027 kerana pemilihan itu sebelum ini ditangguhkan.
Tiga daripada 14 bahagian BERSATU di Kelantan tidak dapat mengadakan pemilihan parti disebabkan bahagian berkenaan digantung sebelum ini membabitkan pelbagai faktor.
Selain Machang dua bahagian lain ialah Jeli dan Gua Musang.
Wan Ahmad Fayhsal berentap dengan Cik Gu Din yang mempertahankan jawatan Ketua BERSATU Bahagian di situ.
Melihat pada latar belakang politik Wan Ahmad Fayhsal yang merupakan bekas Timbalan Menteri,Senator,Ketua Armada Bersatu siapa sangka beliau dapat undi seteruk itu.
Bukan setakat itu beliau yang kini Ahli Majlis Pimpinan (MPT) BERSATU ada latar belakang pendidikannya yang baik termasuk pernah menuntut di luar negara.
Begitu juga dalam kerjayanya yang pernah kerja di Petronas.
Kata orang kalau nak dibanding mereka bagai langit dengan bumi.
Wan Ahmad Fayhsal dikira ialah calon ahli parlimen ‘payung terjun’ bagi kawasan Machang pada pilihanraya umum November 2022.
Beliau bertanding atas tiket PAS.
Juga beliau bukan orang tempatan.
Wan Ahmad Fayhsal membesar dan memulakan persekolahan di Taman Melawati, Gombak dekat Kuala Lumpur.
Dalam pilihanraya 2022 itu Wan Ahmad Fayhsal jadi giant killer menang dengan majoriti 10,154 undi menewaskan penyandang Parlimen Machang yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Nasional (BN) Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Beliau mendapat undian sebanyak 35,603 undi mengalahkan Ahmad Jazlan yang mendapat 25,449 undi.
Dalam pertanding empat penjuru itu calon Pakatan Harapan (PH), Dr Rosli Allani Abdul Kadir dapat 3,934 undi dan calon Gerakan Tanah Air (GTA), Mejar (B) Muhammad Seman sebanyak 128 undi.
Dalam komentar kemenangan sebagai Ahli Parlimen kawasan itu Wan Ahmad Fasyhal sudah berdentum cakap tidak sampai sebulan berada di bumi Machang, namun beliau mendapat kepercayaan daripada pengundi.
Namun kini dalam sepak terajang politik dalaman BERSATU….sudah lain ceritanya.
Dalam istilah sindiran politik ibarat kata ‘kena mandi’.- 23/2/2025