Monday - 21, April 2025

Pencarian MH370 dimulakan semula… kapal Ocean Infinity sudah tiba di zon baharu

Share

Walaupun kerajaan Malaysia masih belum memuktamadkan kontrak pencarian Malaysia Airlines MH370 dengan syarikat swasta masih dalam perbincangan akhir…

Bagaimanapun kapal sokongan laut dalam milik Ocean Infinity yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan Britain, Armada 7806, sudah tiba di zon pencarian baharu kira-kira 1,500 kilometer (km) dari pantai Perth pada hujung minggu lalu.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kerajaan masih sedang memuktamadkan kontrak misi pencarian baharu pesawat Malaysia Airlines MH370, yang hilang hampir 11 tahun lalu, dengan Ocean Infinity.

Sungguhpun begitu, beliau berkata kerajaan mengalu-alukan laporan media asing bahawa syarikat penerokaan yang berpangkalan di UK itu memulakan pencarian di Lautan Hindi pada Selasa.

“Saya mengalu-alukan langkah proaktif Ocean Infinity yang mengerahkan kapal ke kawasan itu untuk memulakan pencarian.

“Kami masih memuktamadkan kontrak kami. Kami baru mendapat kebenaran daripada Jabatan Peguam Negara. Terdapat beberapa perubahan kecil yang perlu dibuat pada terma dan syarat,” katanya.

Pencarian pesawat malang itu bermula di Lautan Hindi yang disifatkan sebagai ‘percubaan terakhir’ untuk mencari pesawat yang hilang itu.

Menurut The Telegraph, sebuah kenderaan bawah air autonomi dihantar daripada kapal itu dalam masa beberapa jam selepas ketibaannya di lokasi dan memulakan imbasan terperinci dasar laut.

Armada 7806 akan mencari di kawasan seluas 15,000km persegi selama enam minggu, yang mana ia akan memberi perhatian khusus kepada empat tompok panas, dengan beberapa penyelidik mencadangkan bangkai pesawat Boeing 777 itu mungkin berada.

Pencarian juga dijangka menjadi rumit kerana topografi dasar lautan serta cuaca.

Kehilangan MH370 kekal sebagai salah satu misteri terbesar dalam penerbangan. Pesawat itu hilang pada 8 Mac 2014 bersama 239 penumpang, dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China.

Loke meyakini kepakaran Ocean Infinity dalam robotik maritim, mengatakan kerajaan percaya syarikat itu bersedia untuk mengetuai operasi pencarian.

“Ocean Infinity berasa sangat yakin kawasan pencarian sekarang lebih dipercayai kerana mereka meliputi kawasan yang luas sebelum ini, dan tiada pencarian dibuat di kawasan ini sebelum ini.

“Mereka meyakinkan kami bahawa mereka bersedia untuk mengambil risiko dan meneruskan pencarian,” katanya.

Cadangan Ocean Infinity fokus pada kawasan seluas 15,000 km persegi di selatan Lautan Hindi, berpandukan analisis data terkini.

Ditanya mengenai tarikh akhir pencarian, Loke berkata kontrak itu termasuk jangka masa, namun beliau tidak mendedahkan butiran khusus.

Sebelum ini, Loke berkata misi pencarian akan mengambil masa tiga bulan dan kontrak akan berlangsung selama 18 bulan.

Usaha pencarian pertama Ocean Infinity, yang bermula pada Januari 2018 di kawasan seluas 25,000km persegi di selatan Lautan Hindi juga berakhir pada Jun 2018 tanpa hasil.-26/2/2025

Read more

khabar terbaru