Monday - 21, April 2025

Majlis Media Malaysia akhirnya menjadi realiti…selepas 52 tahun berlalu

Share

Seorang bekas wartawan yang sudah lama bersara kata dia rasa macam bermimpi bila dapat khabar bahawa Dewan Rakyat pada Rabu meluluskan Rang Undang Undang Majlis Media Malaysia (MMM) 2024.

Apa tidaknya…ini kerana istilah Majlis Media Malaysia bukanlah sesuatu hal yang baru.

Angkatan wartawan geng lama sudah terlalu familiar dengan istilah MMM ini kerana ia ibarat putaran dendangan lagu yang berkali kali tenggelam timbul bertahun tahun lamanya.

Macam macam seminar,bengkel,forum dan perbincangan segala macam telah diadakan selama ini atas hasrat untuk wujudkan MMM…namun ia hanya tinggal harapan hinggalah pada Rabu.

Maka penghargaan perlu diberikan kepada komitmen kerajaan perpaduan hingga menjadikan MMM satu realiti.

Cadangan penubuhan MMM bagi mentadbir urus industri media di Malaysia dicetuskan sejak 1973 lagi oleh Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dalam sidang media kata kelulusan di Dewan Rakyat hari ini disifatkan sebagai saat sangat bersejarah kerana MMM mula difikirkan pada 1973.

“Maka apa yang dilaksanakan hari ini boleh dikatakan sudah tertunda 52 tahun,” katanya.

Rang Undang Undang MMM 2024 yang mengandungi 23 Fasal itu dibentangkan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching untuk bacaan kali pertama pada 12 Disember tahun lalu.

RUU yang bertujuan, antara lain menubuhkan badan kawal selia kendiri bagi menjaga kepentingan media dan pengamal media itu mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen, selepas dibahas 18 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Ketika membentangkan RUU MMM 2024 untuk bacaan kali kedua, hari ini, Nie Ching, berkata RUU itu digubal dengan hasrat industri media untuk menubuhkan sebuah badan yang akan memperkukuh tadbir urus media di Malaysia.

Katanya, sejak cadangan penubuhan satu jawatankuasa atau organisasi bagi menyelaras tadbir urus industri media di Malaysia dicetuskan pada 1973 kerajaan menerima pelbagai cadangan berbentuk serupa daripada industri media.

“RUU itu adalah komitmen Kementerian Komunikasi dan kerajaan bagi menjamin kebebasan media untuk memastikan masyarakat umum mendapat maklumat yang sahih, berintegriti dan adil.

“Melalui penubuhan MMM, kerajaan yakin ruang semak dan imbang boleh dilaksanakan oleh pemain industri media sendiri bagi meningkatkan amalan integriti dan pematuhan etika.

“Di sini letaknya tugas besar MMM dan pengamal media untuk menjamin integriti pelaporan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata antara cabaran dihadapi industri media ketika ini ialah ketiadaan kod etika pelaporan yang standard untuk diguna pakai semua pengamal media di Malaysia.

Menurut Teo, sekiranya orang awam merasa terjejas dengan pelaporan yang dibuat pengamal media, mereka tidak mempunyai platform untuk membuat aduan dan tiada mekanisme penyelesaian melalui proses perundangan sedia ada di mahkamah.

Justeru, katanya penubuhan MMM dapat menentukan standard berkaitan media, mewujudkan medium komunikasi antara orang awam, media atau akhbar dan juga kerajaan, serta menjadi sebuah badan yang memudah cara aduan yang diterima.

“Kerajaan pada hari ini merasakan sudah tiba masanya untuk menubuhkan satu badan bagi menyelaraskan tadbir urus media di Malaysia yang diterajui industri media sendiri. Penubuhan MMM dengan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan dapat mewujudkan satu kod etika yang dapat digunakan secara menyeluruh oleh semua pihak,” katanya.

Menerusi RUU itu, MMM turut berperanan menyelaras perkara berkaitan latihan, pembangunan kapasiti dan pembangunan profesional wartawan dan pertubuhan media selain menguruskan dan menyenggara pangkalan data yang mengandungi maklumat pengamal media dan pengamal media bebas untuk pembangunan berterusan industri media dan kewartawanan.

Ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan, Teo berkata peruntukan dua wakil kerajaan dalam Lembaga MMM dibuat memandangkan ia sebuah badan yang ditubuhkan melalui undang-undang kerajaan dan dipertanggungjawabkan di bawah Kementerian Komunikasi.

“Anggota yang dilantik mewakili kerajaan ini hendaklah dalam kalangan orang yang terlibat dalam industri media, maksudnya orang yang akan menjadi wakil kerajaan dalam lembaga ini kemungkinan besar datang daripada RTM ataupun Bernama.

“Sekiranya mereka juga pengamal media, saya rasa ada kebaikan mereka duduk dalam Lembaga MMM,” katanya.

Fahmi menjelaskan MMM yang diluluskan Dewan Rakyat hari ini dijangka dapat diwujudkan dan memainkan peranannya bermula pertengahan tahun ini.

Beliau berkata, rang undang-undang MMM itu akan dibawa ke Dewan Negara dan selepas itu menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong dan diwartakan.

“Setelah dikuatkuasakan nanti, kita jangka lembaga pengasas akan dibentuk dan (seterusnya) Majlis Media Malaysia. Ini kita harap sekiranya sempat, menjelang pertengahan tahun ini dapat diwujudkan,” katanya.- 26/2/2025

Read more

khabar terbaru