Satu lagi kes rasuah terbongkar di Indonesia dibawah kepimpinan Presiden Probowo Subianto selepas anak syarikat minyak milik negara Pertamina didakwa terlibat dengan skandal campur RON minyak dari tahun 2018 sehingga 2023.
Kes itu, yang turut menyaksikan beberapa tangkapan melibatkan pegawai-pegawai tinggi Pertamina Patra Niaga, didakwa menyebabkan kerugian negara sebanyak AS$12 billion (kira-kira RM57.3 bilion).
Pengarah Jenayah Khas Pejabat Peguam Negara, Abdul Qohar berkata, dua eksekutif terbabit ialah Pengarah Pemasaran Pertamina Patra Niaga, Maya Kusmaya dan Naib Presiden Perdagangannya, Edward Corne.
Pertamina Patra Niaga adalah unit yang bertanggungjawab ke atas jualan runcit dan import bahan api.
Bagaimanapun, Pertamina dan unit berkenaan tidak memberi sebarang maklum balas berhubung penahanan terbaru itu.
Sebelum ini, tiga eksekutif dari unit Pertamina turut ditahan pada Selasa lalu atas dakwaan berpakat untuk mengimport minyak mentah dan bahan api, berbanding mendapatkan bekalan dari dalam negara seperti yang disyaratkan.
Selepas tangkapan pertama itu, Pertamina menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa serta berharap proses perundangan berjalan lancar dengan mengutamakan prinsip tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.
Abdul berkata, dua suspek terbaru yang ditahan pada Rabu lalu didakwa meluluskan import petrol RON 90 dikenali sebagai Pertalite, tetapi dibeli pada harga petrol berkualiti lebih tinggi iaitu Pertamax (RON 92).
“Tindakan itu menyebabkan pembayaran produk minyak yang diimport dibuat pada harga tinggi tetapi tidak sepadan dengan kualitinya,” katanya.
Kedua-dua suspek juga berdepan dakwaan meluluskan keputusan mencampurkan petrol RON 88 dikenali sebagai Premium dengan Pertamax, sebelum menjualnya pada harga bahan api RON lebih tinggi.
Dalam satu kenyataan, Pertamina menegaskan bahawa petrol RON 92 yang dijual memenuhi piawaian dan spesifikasi yang ditetapkan oleh Kementerian Tenaga.
Abdul turut mendedahkan bahawa eksekutif terbabit menggunakan kontrak pasaran segera (spot contract) berbanding kontrak niaga hadapan (future contract) semasa membuat pesanan bahan api.
Tindakan itu menyebabkan Pertamina Patra Niaga terpaksa membayar harga lebih tinggi untuk setiap tempahan.
Kerugian negara akibat kes ini dianggarkan mencecah 193.7 trilion rupiah (kira-kira RM57.3 bilion).-28/2/2025