Seperti diduga PAS akan mewakili Perikatan Nasional (PN) untuk berentap dengan calon UMNO di pihak kerajaan perpaduan dalam pilihanraya kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri Air Kuning di Tapah,Perak.
Pada Jumaat,Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PAS akan bertanding sekali lagi kerusi DUN itu.
“Walaupun kita kalah sebelum ini, kita tidak akan buat sebarang perubahan. Biar kekal parti sama (untuk mewakili PN). Kami akan berikan sokongan penuh,” katanya.
Untuk rekod, PAS sudah bertanding di kerusi tersebut sebanyak lima kali sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008 namun semuanya berakhir dengan kekalahan.
Cuma soalan yang paling besar sekarang ialah apakah PRK ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN dari Kerajaan Perpaduan dengan PN.
PRK ini tentu lebih menarik jika tidak ada calon parti lain atau bebas yang kacau daun.
Sewaktu pilihanraya November 2022 lalu kerusi DUN Air Kuning dimenangi oleh Allahyarham Ishsam Shahrudddin dengan undi 9,088.
Dalam pertandandingan lima penjuru itu beliau meraih majoriti 2,213 undi.
Calon Pakatan Harapan (PH) mendapat 6,875 undi, PN 6,812, Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).
Untuk PRK ini kalau dikira atas dasar gabungan kerajaan perpaduan maka undi Allahyarham Ishsam dicampur dengan undi PH jumlahnya ialah 15,963.
Melihat diatas kertas ia jelas cukup selesa bagi gabungan BN-PH.
Apapun Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mungkin tidak mahu jentera parti goyang kaki dengan kedudukan yang selesa itu.
Ini bila beliau menegaskan BN tidak memandang mudah usaha mempertahankan kerusi DUN Air Kuning.
Kata Menteri Besar Perak itu banyak perkara perlu diambil kira termasuk bilangan pengundi baharu.
“Insya-Allah tak boleh pandang mudah sebab manusia berubah, dinamik. Usaha perlu diteruskan untuk berjumpa pengundi.
“Walaupun BN dan PH masing-masing ada pengundi tegar, pengundi baharu antara 2023 dan 2024 ini kita tidak tahu.
“Kita masih perlu mendekati pengundi muda, pengundi baharu,” katanya.
Dalam pada itu realiti di depan mata ialah kedudukan BN dalam kancah politik negeri Perak telah susut teruk pada pilihanraya umum ke 15.
BN kehilangan banyak kerusi daripada 59 semuanya dalam DUN Perak apabila sekadar memperoleh sembilan kerusi iaitu di DUN Temengor, Kota Tampan, Lintang, Belanja, Pengkalan Baharu, Chenderiang, Ayer Kuning, Rungkup dan Behrang.
Sebaliknya PN berjaya memenangi 26 kerusi DUN di Perak.
Keputusan itu bagaimanapun belum mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri yang memerlukan majoriti mudah 30 kerusi.
Kerusi-kerusi yang dimenangi PN ialah DUN Pengkalan Hulu, Temengor, Selama, Kubu Gajah, Batu Kurau, Titi Serong, Kuala Kurau, Alor Pongsu, Gunung Semanggol dan Selinsing.
PN turut menang di Kuala Sepetang, Trong, Changkat Jering, Chenderoh, Lubok Merbau, Kamunting, Manjoi, Bukit Chandan, Manong, Sungai Manik, Kampung Gajah, Pasir Panjang, Pangkor, Changkat Jong, Bota dan Slim.
Sebanyak lima kerusi yang dimenangi pada PRU14 lalu iaitu Selama, Kubu Gajah, Kuala Kurau, Gunung Semanggol dan Sungai Manik juga berjaya dikekalkan, manakala 21 kerusi lagi pertama kali dimenangi gabungan tersebut.
PH pula berjaya memperoleh 24 kerusi yang dimenangi sebelum ini iaitu DUN Pokok Assam, Aulong, Jalong, Hulu Kinta, Canning, Tebing Tinggi, Pasir Pinji, Bercham, Kepayang, Buntong, Jelapang, Menglembu, Tronoh, Pantai Remis, Astaka, Malim Nawar, Keranji, Tualang Sekah, Sungai Rapat, Simpang Pulai, Teja, Hutan Melintang, Pasir Bedamar dan Sungkai.
Berdasarkan latar belakang yang suram ini BN Perak sangat memerlukan suntikan kejayaan untuk membolehkan ia berdiri tegak semula untuk berdepan dengan ranjau dan duri.
Atas sebab itu ada juga pemerhati yang menilai PRK DUN Air Kuning cukup penting dalam kontek politik negeri dan nasional sekalipun nampak macam pilihanraya kecil biasa saja.- 1/3/2025 – OLEH HIEKAL ROSLI