Monday - 21, April 2025

Persenda upacara agama, Menteri Komunikasi arah MCMC siasat stesen radio swasta

Share

Nak melawak pun biar bertempat… itulah nasib tiga DJ Era FM yang digantung tugas selepas didakwa mempersenda upacara agama lain.

Bukan setakat itu sahaja, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata pihak pengurusan stesen radio tersebut akan dipanggil untuk hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), bagi memberikan penjelasan penuh.

Ini bagi memastikan tindakan yang boleh diambil berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada.

Jelasnya, Kementerian Komunikasi menerima aduan daripada pelbagai pihak berhubung tindakan kakitangan stesen radio berkenaan.

Difahamkan penyampai radio 3 Pagi Era itu mencetuskan kontroversi selepas mempersenda tarian kavadi Hindu, upacara suci dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan.

Video berkenaan yang sudah diturunkan dalam platform media sosial stesen itu, memaparkan seorang penyampai meniru tarian kavadi, sambil menyebut ‘Vel Vel’ disusuli gelak tawa.

Klip video itu mengundang kritikan meluas kerana ia penghinaan kepada tradisi Hindu.

Dalam hantaran di akaun Instagram Era FM, Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendi Ahmad Aruani memohon maaf atas video berkenaan dan mengakui ia tidak sensitif, terutama kepada bangsa India.

Penyampai segmen 3 Pagi Era, Nabil Ahmad, Radin dan Azad Jazmin membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi hantaran satu video dalam platform media sosial stesen radio Era FM, pagi ini.

“Salam sejahtera kepada semua sahabat kami. Kami di 3 Pagi Era ingin memohon maaf kepada semua pihak berkaitan video kami yang dimuat naik di laman sosial Era, baru-baru ini.

“Ini berhubung aksi kami yang kurang menyenangkan dan menyinggung hati segelintir pihak dan sahabat berbangsa India,” kata Nabil.

Sementara itu, ASTRO Audio menyatakan kekesalan berhubung satu insiden rakaman video melibatkan penyampai radio Nabil Ahmad, Azad Jasmin, dan Radin yang telah dikongsi di platform media sosial ERA.

Dalam kenyataan rasmi, ASTRO Audio memohon maaf kepada pihak yang terkesan akibat insiden tersebut, sambil menegaskan bahawa syarikat penyiaran itu mengambil serius perkara berkenaan.

“Ketiga-tiga penyampai terbabit telah mengakui kesilapan mereka dan telah mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka.

“Sebagai langkah susulan, ASTRO Audio telah membuat keputusan untuk merehatkan mereka daripada ke udara buat sementara waktu sehingga siasatan dalaman selesai.,”ujar kenyataan tersebut.

Terdahulu, tular di media sosial tindakan penyampai radio terbabit yang dilihat melakukan tindakan seolah-olah mempersendakan upacara agama lain.

Tiga penyampai radio itu kemudian tampil membuat permohonan maaf berhubung tindakan mereka yang disifatkan menyinggung sensitiviti kaum di negara ini.-4/3/2025 OLEH AHMAD SAUQI ABDUL RAZAK

Read more

khabar terbaru