Alamak… lagi siri pelupusan bangkai babi secara haram ditemui di kawasan Bukit Pelanduk, Port Dickson memaksa Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun memerintahkan pihak berkuasa negeri perlu meningkatkan pemantauan serta penguatkuasaan.
Aminuddin berkata pihaknya menerima laporan penemuan bangkai itu di kawasan kelapa sawit yang merupakan tanah persendirian, daripada orang awam.
“Saya sekali lagi mengingatkan JPVNS dan pihak berwajib termasuk polis untuk memperketat penguatkuasaan di kawasan berkenaan. Tiada pemeliharaan babi di Bukit Pelanduk tetapi ada bangkai haiwan itu dihantar ke situ.
“Ini memberikan kesan tidak baik kepada pemilik tanah dan saya tidak mahu kawasan itu menjadi kawasan pembuangan seperti ini, kerana isu ini sensitif kepada penduduk,” katanya.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata maklumat daripada aduan diterima kali ini mendapati 100 ekor bangkai babi dikesan dibuang pihak tidak bertanggungjawab dipercayai dari negeri jiran ke tanah persendirian di kawasan Pig Farming Area (PFA) dekat Bukit Pelandok, Port Dickson.
“Kawasan itu berhampiran Kampung Baru Site A yang sebelum ini dilaporkan kes sama berlaku.
“Hari ini saya mendapat maklumat ada lagi 100 ekor bangkai babi dibuang di tanah persendirian kawasan kelapa sawit di PFA sedangkan tidak ada pemeliharan babi di PFA itu.
“Ini kali ketiga kes sama dikesan sejak awal tahun ini,” katanya.
Aminuddin turut menyifatkan tindakan pembuangan bangkai itu sebagai kurang hormat dan mahu perbuatan tersebut dihentikan kerana bangkai mengeluarkan bau busuk, berisiko kepada kesihatan manusia dan menyebabkan pencemaran alam sekitar.

Sebelum ini, penemuan bangkai babi pernah dilaporkan berlaku di kawasan Site A Tanah Merah, Port Dickson menerusi aduan bau busuk diterima JPVNS pada 13 Feb, kemudiannya membawa kepada kewujudan lubang pembuangan sisa ternakan itu.
Susulan itu, JPVNS melaksanakan aktiviti nyah kuman di lokasi berkenaan bagi mengelakkan penyebaran penyakit daripada sisa haiwan itu.
x-press.my pada 26 Feb melaporkan lebih 76,000 teknakan babi di Selangor dijangkiti Demam Babi Afrika (ASF).
Daripada jumlah itu, 1,868 ekor babi dari dua ladang telah dilupuskan mengawal dan mencegah perebakan penyakit ASF.
Memetik Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor Dr Hassuzana Khalil jumlah itu adalah sebahagian daripada 76,000 ekor babi yang disahkan dijangkiti ASF selepas ujian persampelan dilakukan terhadap ternakan itu di 114 ladang yang dilesenkan di Sepang dan Kuala Langat.
Beliau berkata pelupusan menerusi kaedah eutanasia (euthanasia) menggunakan gas karbon dioksida berkepadatan tinggi sebelum ditanam di ladang berkenan dilaksanakan pada 5 Feb lepas.
“Pelupusan babi yang pertama telah selesai dibuat pada 5 Feb melibatkan 668 ekor di Sepang diikuti 1,200 ekor babi di Kuala Langat mengikut Arahan Prosedur Tetap Veterinar Malaysia (APTVM).
“Baki lebih kurang 74,000 ekor babi lagi akan dilupus secara berperingkat hingga Mac ini,” katanya.-6/3/2025 OLEH AHMAD SAUQI ABDUL RAZAK