Friday - 14, March 2025

Jangan izinkan Malaysia dicemari pelampau perkauman dan agama – PM Anwar

Share

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak sesekali cuba mencetuskan perpecahan di negara ini.

Beliau berkata tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang menimbulkan kebencian tidak kira dari segi perkauman, agama mahupun menghina orang miskin.

“Percayalah, kita akan ambil tindakan sekeras mungkin untuk menghentikan gejala yang membawa malapetaka dan kecelakaan kepada negara kita.

“Mudah-mudahan kita buat pertimbangan baik dan tahu antara baik dan buruk, mahrum dan munkar, hak dan batil. Terutama sekarang di Malaysia ini, kita mesti tumpu dalam soal ini dan jangan izinkan negara ini dicemari oleh pelampau perkauman dan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri bersama Syarikat Korporat dan Syarikat Berkaitan Kerajaan pada Rabu.

Terdahulu, Perdana Menteri mengajak seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama menjadi ejen perpaduan dan membantu usaha kerajaan MADANI menyatukan rakyat daripada pelbagai latar belakang, agama dan bangsa.

Dalam ucapannya Anwar juga meminta syarikat korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melaksanakan inisiatif “sekolah angkat” bagi membantu membangunkan sekolah-sekolah di seluruh negara.

Menurutnya bantuan daripada syarikat korporat dan GLC dapat menyelesaikan pelbagai masalah penyediaan infrastruktur di institusi berkenaan.

“Tahun 2023 ada 8,600 tandas teruk di sekolah-sekolah di seluruh Malaysia, bayangkan anak-anak kita, sekolah kita dengan kemudahan sebegitu, ia sama sekali tidak boleh diterima.

“Jadi, sekurang-kurangnya yang boleh kita lakukan ialah mencuba dan menyelesaikan sebahagian daripada masalah ini, saya rasa sudah tiba masanya kita, yang dikurniakan Allah SWT dengan kemewahan dan kemudahan, perlu mengambil beberapa langkah untuk mengurangkan tekanan (masalah terbabit),” kata beliau.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau telah meminta Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) untuk menyelaras perkara berkenaan bersama Kementerian Pendidikan.

“Kalau kita boleh dapat 200 sekolah yang dipantau secara langsung, (ia) akan banyak membantu,” kata Anwar.

Selain itu, Perdana Menteri turut berharap agar syarikat korporat dan GLC menyertai program Kampung Angkat MADANI bagi membangunkan dan memajukan lagi kawasan desa.

“Setiap pengurus besar, Tan Sri, Datuk Seri, ketua-ketua syarikat harus pilih kampung dia sendiri dan bangunkannya bersama dengan sebahagian jentera kerajaan,” kata beliau.

Anwar yakin penyertaan daripada syarikat berkenaan membolehkan bilangan Kampung Angkat MADANI dipertingkatkan kepada 400 buah berbanding sasaran asal 200 buah ketika ini.

Kampung Angkat MADANI merupakan program di bawah Dana Komuniti MADANI (DKM) bertujuan membantu komuniti desa memulakan projek ekonomi sendiri seterusnya menoktahkan masalah kemiskinan selain memastikan kemudahan serta prasarana asas di kawasan desa lengkap.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Public Bank Bhd kerana mengembalikan semula Anugerah Hadiah Bahasa bagi memartabatkan bahasa Melayu di semua peringkat.

“Baru-baru ini, saya telah mendapat persetujuan Public Bank (untuk anugerah itu), kerana semasa saya dalam kerajaan dulu, kita mulakan hadiah bahasa pada peringkat universiti, kolej, sekolah menengah dan rendah serta sekolah Cina dan Tamil,” kata beliau.-13/3/2025

Read more

khabar terbaru